SUNGAI PETANI, 13 JULAI – Seorang anak damit lelaki yang dipercayai baharu dilahirkan ditemukan tanpa pakaian dan tidak berlapik di atas tanah berbatu di bahu jalan di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.55 pagi.
“Tangisan kuat anak damit berkenaan didengari seorang penduduk yang sedang menjemur pakaian sebelum dia bertindak mencari di kawasan sekitar. Saksi terkejut lalu menjerit apabila melihat seorang anak damit lelaki di bahu jalan. Tidak lama kemudian, beberapa jiran keluar rumah dan membantu membawa anak damit itu ke kawasan lebih selamat sebelum menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati lokasi penemuan anak damit tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Hanyan berkata anak damit berkenaan telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati anak damit berada dalam keadaan sihat namun mengalami kecederaan calar pada bahagian mata kanan dan sebelah kanan badan,” katanya.
Beliau berkata polis kini sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bagi membantu siasatan, manakala seorang lagi remaja perempuan berusia 19 tahun kini berada di wad hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang anak damit. – Bernama
