TEXAS, 26 OKT – Seorang anak damit dijangka pulih sepenuhnya selepas diselamatkan dari bawah sebuah kereta yang terbalik akibat kemalangan, menurut pihak berkuasa pada Jumaat selepas mereka menyiarkan rakaman video dramatik yang menunjukkan usaha menyelamat di lebuh raya sibuk.
Pegawai polis tiba di lokasi kejadian pada pagi Khamis selepas menerima laporan bahawa seorang wanita dan anak damitnya telah tercampak keluar daripada kenderaan semasa kemalangan berlaku.
Rakaman kamera badan yang dikongsi di media sosial oleh Jabatan Polis Fort Worth pada Jumaat menunjukkan seorang pegawai berlari ke arah kereta yang terbalik dan mula mencari anak damit tersebut, sementara seorang wanita yang cemas kedengaran menjerit memanggil anaknya di latar belakang.
Pegawai itu segera meminta bantuan daripada pengguna jalan raya lain yang berhenti di tempat kejadian untuk membantunya mengangkat kenderaan tersebut.
“Di bawah sini, kita perlu angkat kereta ini,” kata pegawai berkenaan, menyatakan bahawa dia percaya anak damit itu terperangkap di bawah kereta.
“Teruskan, teruskan,” dia menggesa mereka ketika kereta itu berjaya diangkat sedikit, cukup untuknya menarik kaki anak damit dan membawanya keluar ke tempat selamat.
Anak damit itu pada mulanya tidak memberi sebarang tindak balas, namun seorang pegawai memaklumkan bahawa dia masih dapat merasakan denyutan nadi. Mereka cuba membantu anak damit itu bernafas, dengan salah seorang pegawai menekan dada anak damit menggunakan jarinya. Tidak lama kemudian, anak damit itu mula mengeluarkan bunyi dan akhirnya menangis.
Polis memaklumkan bahawa kedua-dua ibu dan anak damit berkenaan dijangka sembuh sepenuhnya. – AP


