ALOR SETAR, 9 April – Seorang pengawal keselamatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini terkejut apabila menemukan seorang anak damit lelaki yang baru lahir, selepas azan Subuh, hari ini.
Mohd Nor Samsu, 56, yang bertugas sejak 7 malam semalam, berkata dia sedang melakukan rondaan pada 6:10 pagi dan tidak menyangka bunyi tangisan anak damit sejurus selepas azan Subuh menemukannya dengan anak damit tersebut di hadapan perhentian bas hospital itu.
“Saya menjumpai anak damit itu di atas lantai simen perhentian bas dalam keadaan berbalut tuala kuning serta badannya dihurungi semut dan kesejukan,” katanya kepada Bernama.
Terkejut dengan situasi itu, dia segera menutup tubuh anak damit itu dengan kain serta melaporkan kejadian pada polis.
Mohd Nor turut memaklumkan penemuan itu kepada pihak HSB yang kemudiannya datang dengan sebuah ambulans untuk membawa anak damit itu mendapatkan rawatan.
Mohd Nor berkata dia percaya anak damit itu dilahirkan di tempat kejadian berdasarkan kepada penemuan dua helai kain batik yang mempunyai kesan darah yang agak banyak di belakang perhentian bas itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin yang mengesahkan penemuan itu berkata anak damit itu dipercayai baru berusia sehari dan mungkin dilahirkan di tempat dia dijumpai.
Anak damit itu sudah dirawat dan kini dalam keadaan sihat. – Bernama