MELAKA, 10 DIS – Siasatan awal polis mendapati tiada unsur penderaan berlaku ke atas anak damit lelaki berusia enam bulan yang ditemui meninggal dunia dengan mukanya dilitupi selimut di rumah pengasuhnya di Merlimau, Jasin kelmarin.
Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Ahmad Jamil Radzi ketika dihubungi berkata pemeriksaan fizikal ke atas mayat anak damit tersebut tidak menunjukkan sebarang unsur perbuatan jenayah.
“Kita masih lagi menunggu laporan makmal hasil bedah siasat yang dijalankan manakala sebarang permohonan reman (ke atas pengasuh) pula bergantung kepada hasil laporan bedah siasat dan kimia,” katanya.
Bernama kelmarin melaporkan anak damit berkenaan, Harraz Noah Nazrul Nizam disedari oleh pengasuhnya dalam keadaan terlentang tidak sedarkan diri dengan sehelai selimut menutupi muka, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi.
Anak damit tunggal kepada pasangan Nazrul Nizam Mohd Tahar, 29, dan Ainol Izzah Raslan, 25, itu sebelum kejadian, diberikan susu dan disendawakan oleh pengasuhnya dan kemudiannya ditidurkan di atas tilam.
Pengasuhnya kemudian menghubungi Ainol Izzah lalu membawanya ke Klinik Kesihatan Merlimau sebelum dirujuk ke Hospital Melaka dan dimaklumkan doktor mangsa sudah meninggal dunia. – Bernama