Anak damit masih kritikal selepas didera pengasuh

SIBU, 11 Jan – Anak damit lelaki sembilan bulan yang cedera dipercayai didera oleh pengasuhnya di Taman Permai di sini Isnin lepas, masih lagi berada dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, anak kepada pasangan guru tersebut masih bergantung kepada alat sokongan hayat.

“Kita sentiasa mendapat feedback daripada pihak hospital dan keluarga mangsa. Suspek yang ditangkap tempoh hari masih direman sehingga 13 hari bulan.

“Apa-apa tindakan kita selepas ini akan bergantung kepada apa yang berlaku kepada mangsa,” katanya.

Stanley berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyematan Pangkat Pegawai Rendah Polis di IPD Sibu di sini hari ini.

Wanita berusia 39 tahun itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pemeriksaan awal perubatan mendapati anak damit tersebut mengalami pendarahan dan bengkak pada bahagian otak dan kedua-dua mata serta mengalami keretakan tengkorak di sebelah kiri dipercayai disebabkan hentakan kepala ke permukaan keras atau goncangan kuat ke atas mangsa.

Menurut beliau, seorang lagi anak damit berusia 17 bulan yang cedera pada bibir, gusi dan patah gigi hadapan disyaki turut didera pengasuh itu kini beransur pulih.

Pengasuh tersebut menjaga empat kanak-kanak berusia antara sembilan bulan dan tiga tahun.

Selain dua anak damit tersebut, wanita itu turut menjaga dua lagi kanak-kanak yang didapati tidak mengalami apa-apa kecederaan selepas diperiksa. Termasuk tiga anaknya sendiri, wanita itu menjaga tujuh orang kanak-kanak berusia antara sembilan bulan dan tiga tahun di rumahnya.

Stanley mengesahkan wanita itu tidak menjalankan operasi pusat asuhan sebaliknya menerima kanak-kanak yang dihantar ibu bapa mereka untuk dijaga secara harian dengan bayaran (atas dasar menolong).

Sebelum itu, beliau menyematkan tanda pangkat seorang pegawai rendah yang dinaikkan pangkat ke Sarjan Mejar, dua Sarjan, lima Koperal dan dua Koperal Bantuan

Dalam ucapannya beliau menasihati setiap anggota polis di IPD Sibu supaya sentiasa mengekalkan kesetiaan mereka kepada pasukan dan tidak bertindak untuk menjatuhkan mana-mana rakan sepasukan mereka.

Stanley turut menggesa mereka agar sentiasa memajukan diri kerana banyak peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran atau meningkatkan ilmu berkaitan tugas masing-masing. – Bernama