Tahun-tahun awal kehidupan kita merupakan tempoh pembelajaran yang pesat, namun kita lazimnya tidak dapat mengingati pengalaman tertentu pada waktu itu satu fenomena yang dikenali sebagai amnesia anak damit.
Namun, satu kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal Science baru-baru ini mencabar andaian lama tentang ingatan anak damit, dengan menunjukkan bahawa minda muda sememangnya membentuk memori. Persoalannya kini ialah mengapa memori-memori itu sukar untuk diakses apabila dewasa kelak.
“Saya sentiasa tertarik dengan ruang kosong misteri dalam sejarah peribadi kita,” kata Profesor Psikologi di Universiti Yale dan pengarang kanan kajian tersebut, Nick Turk-Browne.
Sekitar usia satu tahun, kanak-kanak mula menjadi pelajar yang luar biasa mereka mempelajari bahasa, berjalan, mengenal objek, memahami hubungan sosial dan banyak lagi.
“Namun kita tidak mengingati sebarang pengalaman itu jadi wujud ketidaksepadanan antara kebolehan pembelajaran yang luar biasa ini dengan keupayaan untuk mengingatinya,” jelasnya.

Sigmund Freud, pengasas psikoanalisis, mengandaikan bahawa ingatan awal ditindas, tetapi sains moden kini banyak menolak teori penindasan aktif tersebut. Sebaliknya, teori terkini memberi tumpuan kepada hipokampus, bahagian otak yang penting untuk memori episodik, yang belum berkembang sepenuhnya dalam usia anak damit.
Namun begitu, Turk-Browne tertarik dengan petunjuk daripada kajian tingkah laku sebelum ini. Oleh kerana anak damit belum boleh menyatakan ingatan mereka secara lisan sebelum memperoleh bahasa, kecenderungan mereka untuk merenung lebih lama ke arah objek yang dikenali memberi petunjuk penting.
Kajian ke atas tikus juga menunjukkan bahawa engram corak sel yang menyimpan memori terbentuk dalam hipokampus anak damit tetapi menjadi tidak dapat diakses dari semasa ke semasa, walaupun boleh diaktifkan semula secara tiruan melalui teknik stimulasi neuron menggunakan cahaya.
Namun, sehingga kini, menggabungkan pemerhatian anak damit dengan pengimejan otak sukar dilakukan, kerana anak damit biasanya sukar untuk duduk diam di dalam mesin fMRI (Functional Magnetic Resonance Imaging), iaitu alat yang mengesan aliran darah bagi ‘melihat’ aktiviti otak.
CORAK PSIKEDELIK
Bagi mengatasi cabaran itu, pasukan Turk-Browne menggunakan kaedah yang telah diperhalusi oleh makmalnya selama bertahun bekerjasama dengan keluarga untuk menggunakan puting tiruan, selimut dan patung mainan; menahan anak damit dengan bantal; serta menggunakan corak latar belakang berwarna psikedelik untuk mengekalkan perhatian mereka.
Namun, pergerakan anak damit yang tidak dapat dielakkan menyebabkan banyak imej menjadi kabur dan perlu dibuang, tetapi pasukan itu mengatasinya dengan menjalankan ratusan sesi.
Secara keseluruhan, 26 anak damit menyertai kajian ini separuh berusia bawah setahun dan selebihnya melebihi setahun sementara otak mereka diimbas semasa menjalani tugasan memori yang diadaptasi daripada kajian ke atas orang dewasa.
Pada mulanya, mereka diperlihatkan imej wajah, pemandangan atau objek. Kemudian, selepas melihat imej lain, mereka dipersembahkan semula imej yang pernah dilihat bersama satu imej baharu.
“Kami mengira berapa lama mereka merenung objek yang pernah dilihat dan itu menjadi ukuran ingatan mereka terhadap imej tersebut,” jelas Turk-Browne.
Dengan membandingkan aktiviti otak semasa pembentukan memori yang berjaya dengan imej yang terlupa, para penyelidik mengesahkan bahawa hipokampus aktif dalam pengekodan memori sejak usia muda.
Ini terbukti bagi 11 daripada 13 anak damit berusia lebih setahun, tetapi tidak bagi mereka yang berusia bawah setahun.
Kajian itu juga mendapati bahawa anak damit yang menunjukkan prestasi terbaik dalam tugasan memori mempunyai aktiviti hipokampus yang lebih tinggi.
“Apa yang boleh disimpulkan secara tepat daripada kajian ini ialah anak damit mempunyai keupayaan untuk mengekod memori episodik dalam hipokampus bermula sekitar usia satu tahun,” kata Turk-Browne. – ANN/The Star