Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Kejadian baru-baru ini mengejutkan warga daerah Tutong apabila seorang anak damit perempuan ditemui ditinggalkan di kawasan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, Kampung Kupang, sekitar jam 10 pagi pada 17 Oktober.
Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), laporan mengenai penemuan itu telah diterima melalui talian kecemasan 993. Berdasarkan keterangan saksi, semasa beliau tiba di kawasan letak kereta sekolah berkenaan untuk menjemput anaknya yang menghadiri kelas tambahan, saksi terdengar bunyi tangisan sebelum menemui anak damit tersebut di dalam bakul yang diletakkan di atas sebuah meja berhampiran kawasan letak kereta.
Pihak sekolah kemudiannya segera menghubungi polis melalui talian kecemasan bagi melaporkan penemuan tersebut.
Anak damit berkenaan dibawa oleh pasukan paramedik ke Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong untuk pemeriksaan kesihatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Anak damit tersebut kini ditempatkan di wad Special Care Baby Unit (SCBU) di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi rawatan lanjut.
PPDB memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah melalui talian kecemasan 993 atau di talian 2459500 sambungan 490 / 333.
Sehubungan itu, pihak polis turut memohon agar ibu, bapa atau penjaga yang mempunyai kaitan dengan anak damit tersebut tampil segera bagi membantu siasatan dan pengurusan anak damit dengan baik.
Dalam masa yang sama, PPDB menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan nyawa anak damit atau melanggar undang-undang, seperti membuang atau meninggalkan anak damit tanpa pengawasan.
Individu yang menghadapi kesukaran untuk menjaga anak damit mereka disarankan menyerahkan anak damit tersebut kepada pihak berwajib atau agensi berkaitan bagi memastikan perlindungan dan penjagaan sewajarnya dapat diberikan.









