Sunday, October 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak damit pramatang diculik berjaya diselamatkan

    PARIS, 27 OKT – Anak damit lelaki pramatang yang ditemui di sebuah hotel di Amsterdam selepas diculik oleh ibu bapanya dari wad bersalin di Perancis kini berada dalam keadaan baik, menurut kenyataan pendakwa raya Belgium, kelmarin.

    Pasangan berusia 23 dan 25 tahun, yang juga ibu bapa anak damit berkenaan, telah ditahan, ujar Pendakwa Raya Vincent Macq dalam satu sidang media.

    Polis turut menemui nenek kepada anak damit itu serta dua kanak-kanak lain yang masing-masing berusia 3 dan 10 tahun.

    “Kami bekerja keras selama tiga hari, kami letih namun berasa bangga dan gembira,” katanya.

    Pencarian anak damit berusia 17 hari yang dikenali sebagai Santiago itu bermula pada 22 Oktober lalu selepas dia dilaporkan hilang dari hospital di sekitar Paris. Polis Perancis segera mengenal pasti ibu bapanya sebagai suspek utama.

    Gambar Freepik

    Satu amaran dikeluarkan oleh polis Perancis, disertakan dengan permintaan maklumat yang disiarkan di radio, televisyen dan platform dalam talian. Amaran tersebut turut menyebut bahawa nyawa anak damit pramatang itu berada dalam bahaya kerana memerlukan penjagaan perubatan yang berterusan.

    Siasatan kemudian beralih ke Belgium apabila polis menemui sebuah kereta dipercayai milik pasangan tersebut. Di dalam kenderaan itu, terdapat kad SIM dan nombor siri telefon bimbit, yang akhirnya membawa kepada penjejakan lokasi mereka. Diketahui mereka telah melintasi sempadan ke Belanda.

    Kes itu berakhir pada malam Jumaat apabila polis di Belanda berjaya mengenal pasti bilik hotel yang menjadi tempat persembunyian keluarga berkenaan.

    “Penangkapan berlangsung tanpa sebarang rintangan,” kata Macq, menambah bahawa nyawa anak damit itu tidak dalam bahaya. “Neneknya kini menjaga dua lagi kanak-kanak.”

    Difahamkan, kanak-kanak berusia 3 tahun itu adalah adik-beradik Santiago, sementara hubungan kanak-kanak berusia 10 tahun dengan keluarga itu masih belum dipastikan, menurut pihak pendakwa raya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda