Anak damit terabai meninggal dunia

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Anak damit perempuan yang ditemui di Stesen Elektrik Lebuh Raya Muara-Tutong pada 1 Januari lalu, dilaporkan telah meninggal dunia akibat komplikasi yang dihadapinya.

Menurut kenyataan Polis Diraja Brunei (PDB), jenazah anak damit itu diuruskan Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak dengan bantuan pihak masjid dan disemadikan di Tanah Perkuburan Pulaie baru-baru ini.

Anak damit itu meninggal dunia selepas bertarung nyawa hampir sebulan di Unit Rawatan Rapi Anak Damit Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Semasa ditemui, anak damit itu diletakkan di atas sebuah kotak dalam keadaan berbalut tuala sahaja dan tidak berpakaian.

Sehubungan itu, PDB memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu siasatan kes tersebut dengan menghubungi Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak di talian 2459500 sambungan 496 dan talian kecemasan polis 993, melaporkan ke balai-balai berdekatan atau ke laman sesawang www.police.gov.bn atau mesej terus di Instagram pihak PDB.