LOS ANGELES, 30 Mei – Sebuah hospital di California semalam mendedahkan kelahiran anak damit paling kecil di dunia, hanya seberat 245 gram, menyamai sebiji epal bersaiz besar.
Anak damit diberi nama timangan Saybie oleh petugas hospital, dilahirkan ketika kandungan ibunya baru berusia 23 minggu dan tiga hari di Hospital Anak Damit dan Wanita Sharp May Birch di San Diego. Bapa anak damit itu berkata, beliau dimaklumkan anaknya itu hanya mampu bernafas kira-kira sejam sebelum meninggal dunia.
“Namun tempoh sejam bertukar kepada dua, berlanjutan kepada sehari sehinggalah seminggu,” kata ibu Saybie dalam video yang dikeluarkan pihak hospital.
Menurut doktor, Saybie dilahirkan menerusi kaedah pembedahan kecemasan pada Disember lalu susulan beberapa komplikasi yang membahayakan nyawa ibunya.
Selepas hampir lima bulan diletakkan dalam unit rawatan rapi neonatal, anak damit itu akhirnya dibenarkan pulang ke rumah awal bulan ini selepas beratnya bertambah sebanyak 2.2kg. “Dia adalah satu keajaiban,” kata Kim Norby iaitu antara jururawat bertugas menjaga Saybie ketika bayi berkenaan bertarung nyawa meneruskan kehidupan. – AFP
