JAKARTA, 11 MAC – Pihak berkuasa Indonesia menyelamatkan seekor anak gajah Sumatera yang terancam selepas ia terpisah daripada ibunya di ladang kelapa sawit, kata seorang pegawai tempatan hari ini.
Gajah Sumatera berada di ambang kepupusan dengan hanya tinggal kira-kira 2,400 hingga 2,800 di dunia, menurut Dana Seluruh Dunia untuk Alam.
Anak gajah jantan berusia dua bulan itu ditemui di ladang kelapa sawit di wilayah Riau di pulau barat Sumatera kelmarin selepas penduduk memaklumkan pihak berkuasa, kata pegawai agensi pemuliharaan tempatan Ujang Holisudin kepada AFP.
“Kami mengesyaki gajah ini ditinggalkan oleh kumpulannya atau ibunya,” kata Ujang sambil menambah anak gajah itu bersendirian ketika pihak berkuasa menemuinya. Anak gajah itu berada dalam keadaan sihat selepas pemeriksaan kesihatan dan dibawa ke pusat latihan gajah agensi pemuliharaan berhampiran ibu kota wilayah Pekanbaru, katanya.
Pihak berkuasa sedang memantau kawanan gajah berhampiran kawasan itu untuk melihat sama ada anak gajah itu boleh disatukan semula dengan keluarganya.
“Kami berharap agar kumpulan gajah itu dapat ditemui dan kami dapat menyatukan semula (anak gajah). Itu harapan kami,” kata Ujang. Populasi gajah diancam oleh pemburuan haram yang berleluasa untuk gading mereka, yang berguna dalam perdagangan haram hidupan liar.
Negara Asia Tenggara itu sedang memerangi jenayah hidupan liar dan beberapa kes keracunan gajah telah dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Penebangan hutan juga telah mengurangkan habitat semula jadinya dan membawanya ke dalam konflik yang semakin meningkat dengan manusia. – AFP
