Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak gorila yang diseludup kekal di Istanbul selepas ujian DNA

    ISTANBUL, 26 OKT – Seekor anak gorila yang diselamatkan daripada aktiviti penyeludupan di Lapangan Terbang Istanbul sebelum sambutan Krismas, akan kekal berada di Turkiye dan tidak akan dipulangkan ke Nigeria, menurut pegawai Turkiye Jumaat lalu.

    Primat muda itu, yang berusia lima bulan ketika ditemui, dijumpai di dalam peti kayu di ruang kargo pesawat Turkish Airlines dalam perjalanan dari Nigeria ke Thailand.

    Haiwan itu kemudian dibawa ke sebuah zoo di kawasan perbukitan di pinggir Istanbul untuk rawatan dan pemulihan.

    Dinamakan Zeytin, yang bermaksud zaitun dalam bahasa Turkiye, anak gorila itu dipulihkan dengan tujuan untuk dihantar pulang ke Nigeria, negara asal perjalanannya, selaras dengan peraturan dalam perjanjian CITES yang mengehadkan perdagangan haiwan terlindung.

    Namun, selepas Nigeria mengemukakan permohonan rasmi untuk pemulangannya, pihak pengurusan pemuliharaan alam semula jadi dan taman negara Turkiye menghentikan proses tersebut apabila ujian DNA menunjukkan Zeytin bukan berasal dari Nigeria.

    “Ujian DNA menggunakan penjujukan genom penuh mendapati Zeytin adalah daripada spesies gorila dataran rendah barat. Bukti saintifik ini menunjukkan Nigeria bukan negara asalnya, dan perkara ini memerlukan penilaian semula terhadap status pemuliharaan Zeytin,” menurut kenyataan rasmi. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda