BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept 2013 – Seekor anak harimau dahan, dipercayai tersesat ditemui bertenggek hampir 12 jam di atas sebatang pokok di sebuah kawasan Jerudong, sebelum diselamatkan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama dengan dibantu oleh pasukan polis dan pasukan bomba dan penyelamat.
Haiwan tersebut yang tergolong dalam spesies haiwan terancam berjaya ditangkap selepas ditembak menggunakan ubat pelali dan kemudiannya dilepaskan semula ke habitat asalnya di sebuah kawasan yang dirahsiakan.
Ketua Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Haji Ajmain Haji Sawal memberitahu Media Permata bahawa anak harimau dahan itu dikesan kira-kira jam 6:30 pagi di sebuah kawasan di Jerudong dan pihaknya telah membantu menangkap spesies terancam itu menggunakan pukat dengan bantuan kerjasama oleh polis. Haiwan tersebut dibebaskan di sebuah kawasan yang dirahsiakan pada sebelah petang.
Menurut Awang Ajmain, sebelum ini harimau dahan pernah ditemui berkeliaran di kawasan berkenaan, malah pernah berlaku di mana seekor harimau dahan telah mati dilanggar kereta.
Penemuan anak harimau dahan itu telah menarik perhatian orang ramai untuk datang melihat spesies terancam itu dari dekat.