NEW YORK, 1 MEI – Seekor anak kanggaru yang menjulurkan kepalanya dari kantung ibunya adalah spesies pertama yang lahir di Zoo Bronx sejak 2008, umum pegawai zoo baru-baru ini.
Kelahiran anak kanggaru spesies Matschie ‘merupakan kelahiran yang unik untuk Zoo Bronx dan peluang menarik untuk orang ramai menyaksikan salah satu evolusi alam semula jadi paling mengagumkan,’ kata pengarah zoo Jim Breheny dalam siaran akhbar.
Kanggaru Matschie adalah haiwan asli Papua New Guinea dan disenaraikan sebagai terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Antarabangsa.
Ia adalah spesies arboreal dan hidup dalam hutan hujan pergunungan.
Spesies ini adalah lebih kecil daripada kanggaru Australia.
Kanggaru Matschie dewasa mempunyai berat di antara 9 hingga 11 kilogram.
Anaknya adalah kira-kira saiz kuku ibu jari manusia ketika lahir, kata pegawai zoo. Anak kanggaru merangkak di celah-celah bulu ibu untuk memasuki kantung dan muncul selepas kira-kira tujuh bulan.
“Pada peringkat ini, anak itu akan menghabiskan banyak masa dalam kantung ibu dengan kepalanya terjulur keluar,” kata Breheny.
“Ketika ia membesar, ia akan mula mengenali alam sekitar dan menghabiskan masa singkat di luar kantung.” Penyokong pemuliharaan percaya kurang daripada 2,500 kanggaru Matschie yang masih tinggal dalam hutan.
Haiwan itu diancam oleh pemusnahan habitat, pemburuan dan aktiviti manusia lain. – AP