BANGKOK, 21 MAC – Anak kedua kepada Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn, Vacharaesorn berkata beliau mahu kembali ke tanah air dan kekal di istana selepas menetap di luar negara selama lebih dua dekad, dalam satu wawancara yang diterbitkan hari ini.
Vacharaesorn Vivacharawongse dibesarkan di Amerika Syarikat (AS) berikutan perceraian ibu bapanya pada 1990an, tetapi dia mengadakan lawatan yang tidak dijangka ke Thailand pada Ogos tahun lalu.
Lawatan itu diikuti rapat oleh media Thailand, tetapi tiada komen rasmi daripada pihak istana.
Kini berada di Thailand, lelaki berusia 42 tahun itu memberitahu Bangkok Post dia mahu kembali tetapi menegaskan dia ‘tidak mempunyai aspirasi’.
Ujarnya dia berada di Thailand ’secara peribadi’ dan berhasrat untuk menjadikan kepulangannya kekal.

“Tiada siapa suruh saya datang. Saya tidak mewakili sesiapa,” katanya.
“Saya tidak mahu bersaing untuk apa-apa… Saya tiada sumber, tiada kuasa,” tambahnya.
Vacharaesorn juga memberitahu akhbar itu bahawa dia telah memperoleh pasport dan ID Thai, dan akan berpindah dari Amerika Syarikat – tempat dia bekerja sebagai peguam – untuk tinggal secara kekal di Thailand.
Vacharaesorn ialah anak kedua daripada empat anak lelaki hasil perkahwinan kedua raja Thailand dengan bekas pelakon, Sujarinee Vivacharawongse.
Anak pertama, Puteri Bajrakitiyabha Mahidol, kekal di hospital selepas rebah dan tidak sedarkan diri pada 2022.
Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn yang mempunyai tujuh anak daripada empat perkahwinan, tidak menamakan waris secara rasmi walaupun peraturan pewarisan memihak kepada anak lelaki.- AFP