Wednesday, November 13, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak kelainan upaya Kem. Pertahanan terima sumbangan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Seramai 219 anak kelainan upaya warga Kementerian Pertahanan dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menerima sumbangan pada majlis yang diadakan secara berasingan hari ini.

    Menurut kenyataan, ia adalah salah satu inisiatif Kementerian Pertahanan dan angkatan-angkatan tentera di bawah ABDB yang diketuai oleh peringkat kepimpinan masing-masing dalam memberi perhatian dan pemedulian kepada anak-anak kelainan upaya berkenaan sempena bulan Ramadan ini.

    Acara tahunan itu sebagai tanda pemedulian dan komitmen Kementerian Pertahanan dalam menghulurkan sumbangan berupa wang tunai daripada Tabung Kebajikan ABDB dan barang keperluan harian daripada warga Kementerian Pertahanan terhadap anak-anak kelainan upaya.

    Sumbangan bagi 54 orang anak anggota ABDB di Kementerian Pertahanan telah diserahkan oleh Pemangku Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Kolonel (U) Hismawadi bin Haji Mohd Said di Dewan Serbaguna, Bolkiah Garison. Turut hadir ialah para pengarah tentera dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

    Sementara itu, sembilan orang anak anggota Markas Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan Kompeni Markas TDDB (Komp Mrks TDDB) menerima sumbangan di Mes Pegawai Berakas Garison daripada Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam bin Sulaiman.

    Salah seorang anak kelainan upaya menerima sumbangan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN

    Di Dewan Samudera, Pangkalan Tentera Laut Muara, Pemangku Pemerintah TLDB Kapten Haji Mohamad Sarif Pudin bin Matserudin telah menyampaikan sumbangan untuk 31 orang anak anggota TLDB.

    Majlis serupa juga diadakan di sebuah restoran di Batu Bersurat di mana Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim telah menyampaikan sumbangan derma kepada 31 orang anak anggota TUDB.

    Seramai 19 orang anak Khidmat Perubatan dan Kesihatan serta Khidmat Pergigian TDDB menerima sumbangan daripada Ketua Pegawai Perubatan, Kolonel (Dr) Haji Awang Mohd Hafizul bin Haji Awang Mohd Hassan dan Ketua Khidmat Pergigian Kolonel, (Dr) Jefri bin Haji Abdul Razak yang berlangsung di Dewan Kuliah Ibnu Sina, Khidmat Perubatan dan Kesihatan, Bolkiah Garison.

    Manakala itu, tiga orang anak Rejimen Pengawal Diraja (RPD) TDDB menerima sumbangan daripada Pegawai Pemerintah, RPD TDDB, Leftenan Kolonel Norranellwi bin Siaran @ Searen.

    Seramai 46 orang anak Khidmat Bantuan Kombat (KBK) TDDB menerima sumbangan daripada Timbalan Pemerintah TDDB, Kolonel Muhamad Wata bin Abdullah Awat dan Komandan KBK TDDB,

    Leftenan Kolonel Azhar bin Matzan pada majlis yang berlangsung di Mes Pegawai Waran, Staf Sarjan dan Sarjan, Berakas Garison.

    Dalam pada itu juga, seramai 26 orang anak anggota Markas Medan TDDB, Batalion Kedua TDDB (2Bn TDDB), Batalion Ketiga TDDB (3Bn TDDB), Rejimen Jurutera Tempur TDDB, Skuadron Kereta Peninjau Perisai TDDB dan Sekolah Infantri TDDB telah menerima sumbangan daripada Pemangku Pemerintah Medan TDDB, Leftenan Kolonel Erwan bin Haji Ibrahim bersama pegawai-pegawai pemerintah unit.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda