Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak lelaki puteri mahkota Norway didakwa atas kes jenayah

    OSLO, 18 OGOS – Seorang anak lelaki kepada puteri mahkota Norway telah didakwa atas 32 kesalahan termasuk empat rogol dan beberapa tindakan keganasan termasuk serangan, kata seorang pendakwa raya hari ini.

    Marius Borg Hoiby telah disiasat sejak penahanannya pada 4 Ogos tahun lalu kerana disyaki menyerang teman wanitanya.

    Selain empat pertuduhan rogol, pertuduhan termasuk penderaan rumah tangga terhadap bekas pasangannya dan beberapa pertuduhan keganasan, mengganggu ketenteraman, vandalisme dan melanggar perintah sekatan terhadap bekas pasangannya yang lain.

    Dia juga didakwa merakam perbuatan tidak senonoh terhadap beberapa wanita tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka, kata Pendakwa Raya, Sturla Henriksbo kepada pemberita.

    “Hukuman maksimum bagi kesalahan yang disenaraikan dalam dakwaan ialah penjara sehingga 10 tahun,” katanya.

    “Ini adalah perbuatan serius yang boleh meninggalkan kesan berpanjangan dan menghancurkan masa depan kehidupan,” kata pendakwa raya.

    “Walaupun pada hakikatnya Marius Borg Hoiby merupakan kerabat diraja, akan tetapi tidak bermakna dia perlu diberi layanan yang baik atau sebaliknya berbanding jika perbuatan yang serupa dilakukan oleh orang lain,” tegas Henriksbo.

    Empat tuduhan kes rogol ke atas Hoiby berlaku pada 2018, 2023 dan 2024, yang terakhir selepas siasatan polis bermula. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda