Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak Maradona dakwa kematian bapanya sebenarnya boleh dicegah

    SAN ISIDRO, 16 APRIL – Anak perempuan lagenda bola sepak Argentina, Diego Maradona, kelmarin memberitahu mahkamah bahawa kematian bapanya ‘boleh dielakkan’ sekiranya para doktor yang merawatnya selepas pembedahan menjalankan tugas mereka dengan betul.

    Maradona meninggal dunia pada 25 November 2020, pada usia 60 tahun, ketika sedang pulih di rumah selepas menjalani pembedahan otak akibat pembekuan darah. Dia telah lama bergelut dengan ketagihan kokain dan alkohol.

    Pasukan perubatan yang terdiri daripada tujuh orang kini dibicarakan atas apa yang digambarkan oleh pihak pendakwa sebagai ‘teater seram’ pada hari-hari terakhir hidup Maradona dan mereka berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun sekiranya disabitkan bersalah.

    Maradona didapati meninggal dunia akibat kegagalan jantung dan edema pulmonari akut – keadaan di mana cecair berkumpul di dalam paru-paru – dua minggu selepas menjalani pembedahan.

    “Kalau mereka melakukan tugas mereka, perkara ini boleh dielakkan,” kata anaknya, Dalma Maradona, yang menjadi plaintif dalam kes itu, kepada mahkamah di San Isidro, utara Buenos Aires. “Mereka memperdayakan kami dengan cara yang paling kejam,” katanya mengenai pasukan perubatan tersebut.

    Dalma Maradona, 38, memberi keterangan bahawa doktor Leopoldo Luque, salah seorang yang dituduh, telah meyakinkan keluarga bahawa rawatan di rumah merupakan ‘satu-satunya pilihan’. Dia diberitahu bahawa bapanya akan menerima semua keperluan termasuk penjagaan 24 jam dan ambulans yang bersiap sedia.

    “Perkara itu tidak pernah berlaku,” katanya. “Ia hanya sebuah rumah di mana doktor datang sekali-sekala untuk menjenguk.” – AFP

    Dalma Maradona, anak perempuan Diego Maradona, tiba di mahkamah bagi perbicaraan berkaitan kematian bapanya di San Isidro, pinggir Buenos Aires, pada 15 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda