PENYANYI, Janet Jackson kelihatan semakin hebat selepas melahirkan anak pertamanya, Eissa dan kembali tampak langsing serta muda apabila ketika beraksi di pentas dan di majlis-majlis keramaian.
Menurut sumber yang memberitahu E!News, Janet telah kehilangan berat badan lebih 45 kilogram.
“Dia melakukan olahraga dengan teratur dan menjaga pemakanannya. Malah sejak September, berat Janet semakin menurun,” kata sumber tersebut.
“Dia sangat gembira dengan perubahan itu dan sangat yakin untuk terus bekerjasama dengan jurulatih dan pakar pemakanannya. Memulakan aktiviti fizikal pada awal pagi hampir setiap hari, dalam masa yang sama menikmati makanan sihat dan mengelak daripada mengambil makanan berlemak. Dulu, Janet makan mengikut emosinya tetapi sekarang dia sudah berubah,” ujar sumber terdekat penyanyi itu.
Malah, fikirannya juga dikatakan sudah tenang apabila setiap hari berusaha untuk membuatkan hidupnya seimbang selain turut melakukan aktiviti yoga dan pilates.
Menurut sumber tersebut lagi, Eissa, anak lelaki yang dilahirkan pada Januari 2017 juga memberikan kebahagiaan yang tak terhingga buat penyanyi pop tersebut.
“Eissa adalah segala-galanya, dia sangat sayangkan Eissa dan apabila anak itu tiada bersama, dia seperti tidak boleh berhenti bercerita tentangnya. Dia melibatkan Eissa dalam hampir semua aktivitinya.
“Dia juga sangat gembira menjadi seorang ibu dan dapat kembali bersama dengan teman-teman lama dan keluarganya sejak kembali ke Amerika Syarikat. Malah Janet nampak positif dan optimis tentang masa hadapannya,” ujar sumber itu.
Bintang popular itu dilihat sedang menikmati hidup sepenuhnya. Jauh berbeza dengan kehidupan sebelumnya. Eissa telah membuka pelbagai jalan baru buatnya. Malah penyanyi ini berada dalam keadaan yang lebih baik tanpa insan yang bergelar suami.