Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak muda cari ketenangan di ‘rumah persaraan belia’

    DALI, CHINA – Wang Dong tidak bekerja selama berbulan-bulan dan tidak bercadang untuk bekerja, menghabiskan hari-harinya di sebuah bandar tepi tasik sebagai salah seorang daripada sejumlah besar anak muda Cina ‘bersara’ di kawasan luar bandar.

    Rehat berpanjangan daripada kerja sudah lama tidak didengari di China, dengan budaya pejabatnya yang amat kompetitif dan di mana para pegawai berasa bangga dengan hasil titik peluh di sebalik kebangkitan negara.

    Namun sesetengahnya menentang gaya hidup tersebut, memberi diri mereka ruang mental untuk pulih daripada keletihan, mencari ketenangan jiwa dan mempertimbangkan cara lain untuk menyumbang kepada masyarakat.

    “Kami semua mempunyai perkara yang berbeza berlaku pada satu-satu masa dan kami perlu memberi perhatian kepada masa kita sekarang,” kata Wang yang berusia 29 tahun di ‘rumah persaraan belia’ di Dali di wilayah Yunnan yang indah di barat daya China.

    “Sungguh bermakna bagi saya untuk mengalami perkara dalam tempoh ini yang tidak boleh dinilai dari segi material,” katanya.

    Orang muda berborak selepas menonton pemuzik membuat persembahan di rumah persaraan belia di Dali, China, barat daya wilayah Yunnan. – AFP
    Orang bermain permainan pada malam di rumah persaraan belia di Dali. – AFP
    Orang muda menyaksikan pemuzik membuat persembahan di rumah persaraan belia di Dali. – AFP
    Penghuni rumah persaraan belia menikmati hidangan komuniti. – AFP
    Anak muda sedang bersantai di ‘rumah persaraan belia’. – AFP
    Gambar AFP
    Anak-anak muda melihat telefon bimbit selepas menyaksikan persembahan daripada pemuzik. – AFP

    Wang tiba di asrama tahun ini selepas semakin letih dan bosan dengan pekerjaannya dalam bidang perhotelan.

    Sejak itu dia telah meluangkan masa dengan mengunjungi kuil, berlatih menyediakan teh tradisional, pergi bersiar-siar dengan rakan baharu atau sekadar bermalas-malas atau bersantai.

    Dia berkata bahawa dia akan tinggal untuk sekurang-kurangnya sebulan lagi dan dia ‘tidak mempunyai rancangan khusus untuk kehidupannya selepas itu.’

    ‘MEMBIARKAN KEADAAN MENJADI TERUK’

    Rumah persaraan belia yang mempromosi visi rehat atau kelegaan daripada kesibukan bandar telah tular di China.

    Biasanya berpusat di bandar kecil, pinggir bandar atau kawasan luar bandar, mereka menarik orang yang berumur 20an atau awal 30an selama beberapa minggu atau bulan dan sering menawarkan aktiviti berkumpulan yang menyeronokkan.

    Beberapa rumah persaraan belia itu telah muncul di sekitar Dali sebuah bandar kecil yang tenang di tepi tasik yang kelihatan seperti kaca, sebuah penempatan terpencil bagi mereka yang memiliki sifat bohemian.

    “Saya hanya membenarkan kemasukan kepada orang yang senang berbual, jadi perbualan tidak akan kering… dan wujudnya keserasian antara mereka,” kata Yan Bingyi, pengasas sebuah rumah persaraan belia.

    Berdekatan, segelintir tetamu bersantai di laman yang cerah, menatal telefon mereka, bertukar-tukar jenaka dan bermain dengan anjing.

    Yan, 37, berkata dia sering mengatur hidangan makanan berkumpulan yang dimasak sendiri atau membawa tetamu berkhemah dan rombongan lain.

    “Kita semua perlu menghadapi tekanan sosial yang tidak kelihatan dalam kehidupan dan mendapati keadaan menjadi sukar apabila ia berkembang sehingga tahap tertentu,” katanya.

    “Apa yang perlu kita lakukan dalam situasi ini? Kita perlu keluar, membuka ruang batas kita sendiri dan berehat.”

    Digelar ‘gerakan budaya menolak kerja berlebihan’ atau ‘berehat,’ anak muda Cina menerima gaya hidup yang menentang budaya kerja yang melelahkan dan mengutamakan ketenangan.

    Trend berkenaan berlaku serentak dengan kemelesetan ekonomi pasca-pandemik yang telah menyaksikan pengangguran belia bandar mencecah melebihi 15 peratus, tertinggi dalam beberapa tahun.

    Presiden Xi Jinping telah menyeru orang muda untuk ‘menelan kepahitan hidup,’ frasa percakapan untuk bekerja keras.

    Beberapa pemilik memberitahu AFP mereka merasakan ramai orang tersalah menggabungkan rumah persaraan belia dengan kemalasan.

    “Saya tidak fikir orang harus bermalas-malas sepanjang hidup mereka,” kata Yan.

    “Selepas menghabiskan tempoh singkat di sini, saya berharap orang ramai dapat menyesuaikan diri semula dengan kehidupan mereka dan tidak sampai ke tahap di mana mereka benar-benar dihimpit tekanan bandar,” beritahunya kepada AFP.

    ‘HIDUP LEBIH BAIK’

    Yang lain menganggap rumah persaraan belia sebagai gimik dan sebaliknya mencurahkan tenaga mereka dalam matlamat yang lebih disokong oleh kerajaan.

    Chen Qiankun, 21, berpindah dari wilayah selatan Guangdong untuk membangunkan kampung-kampung usang Dongwang berhampiran ibu negara Beijing.

    Kerajaan China telah lama berusaha untuk ‘memulihkan semula’ kawasan luar bandar yang mempunyai populasi berkurangan kerana ditinggalkan akibat ledakan ekonomi negara itu.

    Apabila wartawan AFP melawat Dongwang, dengan 106 penduduk, Chen bercakap kepada 12 pemilik rumah inap desa dan pempengaruh penstriman langsung di sebuah bengkel mengenai penggambaran dan penyuntingan kandungan untuk platform video dalam talian.

    Matlamatnya,menurut beliau, adalah untuk mengajar orang tempatan kemahiran baharu untuk meningkatkan pendapatan dan membendung kemerosotan kawasan luar bandar.

    “Tidak adanya isu dengan orang muda mahu ‘bersantai’ atau ‘bertenang’ buat sementara waktu tetapi kelesuan jangka panjang perlu ditangani, kata Chen.

    Jika tidak, beliau memberi amaran, ‘gelombang orang muda’ akan bersara secara nyata.
    Namun seorang pengasas ‘masyarakat persaraan,’ Cai Zongmou, membandingkannya dengan mengambil masa tahun jurang setahun sebelum kembali bekerja sebagai orang yang lebih sempurna.

    Tatkala senja menyelubungi halaman rumahnya, tetamu memasak makan malam bersama, membuka botol minuman, menyanyi di sekeliling unggun api yang besar dan bermain permainan kad dalam suasana riuh rendah.

    “China pernah satu ketika miskin dan kami telah menghabiskan masa yang lama untuk mengejar apa yang ketinggalan,” kata Cai.

    “Semakin ramai daripada kita kini sudah berfikir tentang cara-cara menjalani hidup lebih baik.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda