KOTA BELUD, 16 NOV – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mahu anak muda Sabah menjadi pemacu kepada kestabilan politik dan kemajuan negeri dengan mengambil peluang disediakan kerajaan untuk membina masa depan lebih baik.
Beliau berkata golongan muda merupakan aset penting negeri berkenaan memandangkan 54 peratus penduduk Sabah terdiri daripada belia, namun kadar pengangguran di negeri itu masih tertinggi di Malaysia iaitu 17.1 peratus.
“Kita mahu anak Sabah diberikan gaji premium, sekurang-kurangnya RM2,000 (sebulan) dengan syarat mesti melalui kursus TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional),” katanya sambil menegaskan sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, beliau akan memberi keutamaan latihan itu kepada belia Sabah.
Ahmad Zahid berkata demikian pada Program Karnival Lindung Kerjaya, hari ini.
Ahmad Zahid berkata gaji premium itu dapat memastikan anak muda Sabah tidak berhijrah ke Semenanjung atau Sarawak untuk mencari pekerjaan, sebaliknya dapat membina kerjaya dan kehidupan di negeri sendiri.
Kerajaan Persekutuan, menurut beliau akan terus memperkukuh peluang latihan kemahiran di Sabah melalui penambahan Pusat GiatMARA baharu termasuk sebuah di DUN Tempasuk bagi memastikan anak muda negeri itu bersedia menghadapi pasaran kerja lebih kompetitif. – Bernama


