Anak panda kembar diberikan nama

BERLIN, 9 DIS – Kembar beruang panda di Zoo Berlin akhirnya mempunyai nama: Meng Xiang dan Meng Yuan, impian yang diingini dan impian yang dicapai.

Menurut tradisi China, kedua-dua anak panda itu diberikan nama pada hari ini, 100 hari selepas haiwan dilahirkan di ibu negara Jerman. Jantina Xiang dan Yuan juga didedahkan dengan kedua-duanya adalah jantan.

Nama panda ini diperkenalkan pada papan tanda kayu dalam bahasa Jerman dan Cina oleh Datuk Bandar Berlin Michael Mueller dan Duta China Wu Ken.

Selepas itu, kedua-duanya diperkenalkan kepada puluhan wartawan untuk kali pertama dalam kotak kaca terbuka yang mengandungi lapik pemanas di bawah selimut anak damit. Salah seekor cuba tidur sepanjang acara sementara seekor lagi merangkak dengan mata terbuka dan membelakangkan orang ramai beberapa kali.

Penjaga zoo pada mulanya memberi minum anak panda, yang pertama dilahirkan di Jerman, dengan botol susu yang dipam daripada ibunya Meng Meng, namun kini ia sudah boleh minum sendiri.

Meng Meng dan bapa panda, Jiao Qing datang ke Jerman dari China dua tahun lalu. Kedua-dua anak panda mempunyai berat enam kilogram setiap seekor dan akan diperkenalkan kepada orang ramai pada awal tahun depan, sebaik sahaja ia mampu berjalan sendiri.

Terdapat kurang daripada 2,000 panda terancam yang dianggarkan hidup dalam hutan hari ini. – AP

Penjaga zoo memegang ‘Meng Yuan’ dan ‘Meng Xiang’ ketika acara memberikan nama untuk anak panda kembar di Zoo Berlin, Jerman, kelmarin. – AP