Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak patung Barbie hidap diabetes jenis 1 dilancar

    WASHINGTON, 9 JULAI – Syarikat mainan terkenal Mattel melancarkan anak patung Barbie pertamanya yang menghidap diabetes jenis 1, dalam usaha memupuk rasa keterangkuman dan empati dalam kalangan kanak-kanak, kata naib presidennya, Krista Berger, kelmarin.

    Anak patung edisi baharu itu direka melalui kerjasama dengan Breakthrough T1D, sebuah organisasi bukan untung, yang memfokuskan kepada diabetes jenis 1 di peringkat global.

    “Pelancaran anak patung Barbie dengan diabetes jenis 1 menandakan satu langkah penting dalam komitmen kami terhadap keterangkuman dan perwakilan,“ kata Krista Berger dan ketua global anak patung.

    “Barbie memainkan peranan dalam membentuk persepsi awal kanak-kanak terhadap dunia. Dengan memaparkan keadaan perubatan seperti T1D, kami memastikan lebih ramai kanak-kanak dapat melihat diri mereka dalam cerita yang mereka bayangkan dan dalam anak patung yang mereka suka.”

    Diabetes jenis 1 ialah keadaan auto imun di mana tubuh pesakit menyerang dan memusnahkan sel-sel di pankreas yang menghasilkan insulin.

    Penyakit itu sering dikesan semasa zaman kanak-kanak dan pesakit perlu memantau paras glukosa serta mengambil insulin setiap hari.

    Anak patung Barbie itu memakai CGM – iaitu peranti kecil yang mengukur paras gula dalam darah secara berterusan – di lengannya bagi membantu menguruskan keadaannya.

    Bagi memastikan CGM kekal di tempatnya, Barbie menggunakan pita perubatan berbentuk hati berwarna merah jambu serta sebuah telefon pintar yang memaparkan aplikasi pemantauan gula darah sepanjang hari.

    Anak patung itu turut dilengkapi dengan pam insulin, iaitu alat perubatan kecil yang dipasang pada pinggang dan membolehkan dos insulin diberi secara automatik mengikut keperluan.

    Barbie edisi ini memakai baju bintik biru polka dan skirt, diinspirasikan daripada simbol kesedaran diabetes global.

    Selain model standard, Mattel turut melancarkan edisi khas anak patung Barbie berdasarkan Lila Moss, lengkap dengan peralatan CGM.

    Lila Moss, anak kepada supermodel terkenal Kate Moss, didiagnosis dengan diabetes jenis 1 ketika berusia 12 tahun. – AFP

    Anak patung Barbie memakai pam insulin dan memegang beg yang besar untuk sebarang keperluan seperti makanan ringan yang mungkin diperlukannya. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda