Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak perempuan Presiden Uzbekistan dilantik ke jawatan tertinggi

    TASHKENT, 24 JUN – Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev kelmarin telah melantik anak perempuannya, Saida Mirziyoyeva, sebagai ketua pentadbiran presiden yang baru diwujudkan, menurut jurucakap beliau.

    Saida, 40, sebelum ini merupakan penolong kanan presiden dalam sebuah negara yang mana kuasa politik masih dikawal ketat, meskipun janji untuk melaksanakan pelonggaran undang-undang.

    Sejak mencapai kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet pada 1991, Uzbekistan hanya mempunyai dua orang presiden.

    Shavkat telah mengambil alih kuasa pada 2016 selepas kematian presiden pertama negara itu, Islam Karimov, yang turut melantik anak perempuannya, Gulnara Karimova, ke jawatan kerajaan berpengaruh.

    “Melalui dekri presiden, jawatan ketua pentadbiran presiden telah diwujudkan. Saida Mirziyoyeva telah dilantik,” kata jurucakap presiden menerusi Telegram.

    Saida Mirziyaeva telah dilantik memegang jawatan dalam pejabat eksekutif pentadbiran presiden Uzbekistan, pada 24 Jun. – Agensi

    Melalui pindaan perlembagaan yang diluluskan pada 2023, Saida boleh terus memegang jawatan berkenaan sehingga tahun 2037.

    Di negara-negara bekas Soviet seperti di Asia Tengah, kuasa sering tertumpu di tangan keluarga pemerintah.

    Sebagaimana di Turkmenistan, Gurbanguly Berdymukhamedov telah menyerahkan kuasa kepada anaknya, Serdar, pada 2022, manakala di Tajikistan, anak lelaki Presiden, Emomali Rahmon dan Rustam Emomali turut mengetuai parlimen.

    Media Uzbekistan telah melaporkan Saida, yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Rusia dan Uzbek, akan dibantu oleh Komil Allamjonov.

    Namun, percubaan membunuh Allamjonov yang gagal pada tahun lalu telah mencetuskan tindakan penyingkiran besar-besaran dalam kalangan pasukan keselamatan, polis dan tentera.

    Meskipun beliau telah membuka Uzbekistan kepada pelaburan asing dan pelancongan sejak menjadi presiden, pembangkang politik masih hampir tidak wujud di negara itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda