Anak sulung kepada pelakon, Sabri Yunus, iaitu Saidi Sabri bersyukur dan berlapang dada apabila bapanya kembali terbuka untuk mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Ardini Angeline Tan.
Sebelum ini, aktor senior berkenaan menduda hampir 16 tahun.
Menurut Saidi, dia dan adik beradik tidak terkejut dengan perkahwinan ini kerana mereka sememangnya sudah akrab sejak dulu.
“Syukur alhamdulillah. Selepas 16 tahun ayah seorang diri, kini sudah ada peneman. Kami adik beradik gembira.
“Ayah dan Auntie Angeline memang sangat baik. Seperti semua tahu, mereka berkenalan sejak sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu lagi.

“Auntie Angeline pun selalu datang rumah sejak kami kecil lagi. Kami tak terkejut pun mereka nak mendirikan rumah tangga. Sebaliknya, kami sangat gembira,” katanya kepada MH.
Saidi berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis resepsi Sabri dan Angeline yang di Rose Hall, Glo Mall Damansara, Selangor, pada Ahad.
Sementara itu, anak bongsu Sabri, Syazni Sabri pula memaklumkan hubungan bapanya dengan Angeline kembali akrab ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID.
“Kami sudah lama kenal dengan Auntie Angeline. Dia pun sudah menganggap kami seperti anak sendiri sejak kami kecil lagi.
“Ayah bagitahu dia berkawan rapat dengan Auntie Angeline sejak PKP. Walaupun dia tak cerita sangat tapi kami boleh nampak. Mereka juga ada keluar bersama.
“Jadi, perasaan diantara kami berlaku secara semula jadi. Kami sudah pun seperti satu keluarga. Tiada pun rasa macam ada yang tak kena,” kongsinya. – Agensi