Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak Sarawak mahir tarian zapin Johor

    MARUDI – Jauh di pedalaman Sarawak – di Baram, muncul sebuah tarian terkenal dengan gerak lenggok yang penuh sopan dan lemah gemalai, zapin Johor.

    Kemunculan zapin ini hasil inisiatif seorang guru, Mohamad Syukri Malek, anak kelahiran Batu Pahat, yang berusaha mengembangkannya dalam kalangan anak-anak masyarakat Kayan sejak lima tahun lalu.

    Kini, 10 pelajar Tahun 2 hingga 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Long Pillah, yang juga anggota Kumpulan Ritma Tari di Baram, terpilih mendalami keindahan dan kehalusan gerak tarian itu.

    Bercakap kepada Bernama, Mohamad Syukri berkata idea untuk ‘menurunkan’ ilmu seni tari zapin Johor yang dimilikinya kepada murid sekolah tersebut tercetus selepas menerima surat pertandingan Tarian Tradisional Melayu peringkat Zon Baram Tengah sekitar 2013.

    “Ketika itu murid-murid hanya tahu dan belajar tarian masyarakat Orang Ulu sahaja seperti Bidayuh, Orang Ulu dan Iban.

    Mohamad Syukri Malek tekun mengajar pelajar Tahun 2 hingga 6 Sekolah Kebangsaan Long Pillah yang juga anggota Kumpulan Ritma Tari mendalami keindahan lenggok tari Zapin Johor. – Bernama
    Sebut sahaja tarian zapin pasti terbayang pergerakan lemah lembut dan penuh sopan seni tari dari Selatan tanah air itu, namun siapa sangka jauh di pedalaman Sarawak sekumpulan anak masyarakat Kayan di Kampung Long Pilah di Baram, giat mempelajari pergerakan tarian kebanggaan rakyat Johor itu sejak lima tahun lalu. – Bernama

    “Apabila saya mula mengajar di sekolah tersebut sekitar 2013 kumpulan Ritma Tari ini ditubuhkan dan mereka mula belajar tarian Zapin Johor.

    “Penerimaan mereka sangat baik kerana saya dapat melihat kecenderungan serta minat murid-murid kepada perkara melibatkan aktiviti kebudayaan,” kata guru berusia 29 tahun itu.

    SK Long Pillah adalah sekolah pedalaman 3 yang mempunyai 75 pelajar masyarakat Kayan dan 12 guru, terletak kira-kira tiga jam perjalanan darat dari Miri – sejam menerusi jalan raya biasa, manakala bakinya jalan pembalakan.

    Mohamad Syukri yang mula mendalami seni tari zapin sejak belajar di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Johor berkata, latihan untuk anak-anak masyarakat Kayan itu diadakan setiap Isnin hingga Khamis selepas sesi persekolahan.

    “Saya akan pastikan teknik yang betul dan asli tarian zapin diajar kepada murid-murid tersebut. Selain itu latihan turut memberi tumpuan kepada cara pemakaian busana agar tidak melanggar keaslian jenis tarian ini termasuk lagu yang digunakan serta cara menggabungkan ragam tarian.

    Murid Tahun 6 SK Long Pillah, Magdeline Paya mempersembahkan tarian masyarakat Orang Ulu. – Bernama
    Murid Tahun 6 SK Long Pillah, Semuel Emang mempersembahkan tarian masyarakat Orang Ulu. – Bernama

    “Setiap tahun saya tukar jenis zapin yang diajar supaya pada setiap pertandingan yang disertai adalah zapin yang berbeza,” kata guru Pendidikan Jasmani, Bahasa Melayu dan Matematik itu.

    Mohamad Syukri mahir seni tari Zapin Pekajang, Zapin Parit Mastar, Zapin Tenglu, Zapin Kores, Zapin Pat Lipat dan Zapin Padang Sari.

    Kumpulan Ritma Tari bertuah mendapat sentuhan ‘asli’ dari Johor hingga sentiasa memenangi pelbagai pertandingan tarian peringkat Zon Baram Tengah, Daerah Baram dan Bahagian Miri sejak 2013 hingga tahun ini.

    Sejak 2013, Mohamad Syukri bersama rakannya juga seorang guru, Anthony Abas, 35, sudah membelanjakan kira-kira RM15,000 duit poket sendiri untuk menyediakan pakaian, aksesori, prop dan keperluan kumpulan tari itu.

    Ditanya tentang perasaan dapat mengembangkan seni budaya masyarakat Johor di bumi Sarawak, Mohamad Syukri berkata beliau amat berbangga, malahan ibu bapa, guru-guru sekolah serta murid-murid menerima baik dan menyokong usaha beliau bersama Anthony.

    “Bekas jurulatih saya iaitu Ketua Bidang Seni Tari, Sekolah Seni Malaysia di Johor, Ahmad Khairulanuar Rahimey Rahim menyokong penuh usaha ini tambahan pula masyarakat Kayan sangat asing kepada dunia seni tari zapin,” kata Mohamad Syukri. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda