Saya ingin meluahkan rasa rindu dan sedih yang teramat sangat yang selama ini saya hanya simpan di dalam hati.
Sudah hampir dua bulan anak saya, anak yang saya besarkan dengan penuh kasih sayang, tidak pulang ke rumah.
Semuanya bermula sejak hari perkahwinannya.
Dia seolah-olah telah menghilangkan diri dari kehidupan kami, keluarganya.
Saya mula merasa seperti seorang ibu yang kehilangan anak, ditinggalkan oleh anak sendiri, yang pernah menjadi segala-galanya buat saya.
Saya akui, saya sangat teruja semasa hari perkahwinannya. Sebagai seorang ibu, melihat anak membina rumah tangga sendiri adalah satu kebanggaan dan kebahagiaan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Namun, saya tidak pernah terfikir bahawa kebahagiaan hari itu akan disusuli dengan rasa kosong yang mendalam seperti sekarang ini.
Sejak hari itu, saya dapat mengira dengan jari berapa kali dia datang menjenguk kami di rumah.
Ada kalanya saya menelefon dia namun tidak dijawab, mesej tidak dibalas.
Pada mulanya, saya cuba bersikap positif mungkin dia masih menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu sebagai seorang suami.
Namun, lama kelamaan kesabaran saya semakin tipis dan saya tertanya-tanya apakah saya telah melakukan sesuatu yang salah sehingga dia tidak lagi mahu pulang ke rumah?
Atau adakah dia sudah lupa akan keluarga yang membesarkannya?
Hati saya begitu remuk apabila saya mendengar daripada orang luar bahawa anak saya sering berkunjung ke rumah mertuanya, tetapi tidak sekali pun dia pulang menjenguk saya, ibunya. Mengapa? Saya tidak tahu.
Perasaan rindu, marah, kecewa dan sedih bercampur baur dalam diri saya. Saya terfikir, apakah saya sebagai seorang ibu tidak lagi penting di matanya setelah dia mendirikan rumah tangga?
Saya tidak menafikan dia kini sudah mempunyai tanggungjawab baru sebagai seorang suami.
Tetapi, apakah itu bermakna seorang anak boleh terus melupakan ibu bapa?
Sebagai seorang ibu, saya hanya inginkan satu perkara—kehadirannya di sisi saya, walaupun sekejap. Saya tidak meminta banyak.
Saya hanya mahu mendengar suaranya, melihat wajahnya, dan berbicara seperti dulu. Namun kini, rumah ini terasa sunyi.
Setiap kali saya melangkah ke bilik yang pernah menjadi tempat tidurnya, hati saya diselubungi rindu yang mendalam.
Saya ingin bertanya, bagaimana awda menghadapi perasaan ini? Bagaimana caranya untuk
mendekati anak yang sudah jauh hati?
Jah Zaiton
NASIHAT DANG MP
Terima kasih Jah Zaiton kerana menulis kepada kami. Situasi awda sebagai ibu terasa dikhianati apabila tidak dihiraukan anak sememangnya menyedihkan.
Dalam menghadapi situasi ini, penting untuk memberikan ruang kepada anak awda sambil tetap terbuka untuk berkomunikasi. Mereka mungkin memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu mereka.
Dengan memberi sedikit ruang, awda menunjukkan bahawa awda memahami keperluan mereka, tetapi tetap sedia untuk menyambut mereka kembali bila mereka bersedia.
Dengan teknologi komunikasi yang ada sekarang, awda sudah pasti boleh menelefon atau membuat panggilan video untuk bertanya khabar. Tinggalkan pesan untuk menghubungi semula sekiranya tidak dapat dijawab jika dia sedang sibuk. Kemungkinan dia akan mula menghubungi awda semula lama-kelamaan. Jika awda mempunyai hubungan yang baik dengan isteri anak awda, tidak ada salahnya untuk bercakap dengannya juga.
Akhirnya, ingatlah bahawa kesabaran adalah amat penting dalam penyembuhan dan penyambungan semula yang memerlukan masa. Memegang harapan dan percaya bahawa hubungan awda boleh pulih adalah penting.