Saturday, April 19, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak terpinggir

    Assalamualaikum, hari ini aku nak curhat tentang kehidupanku. Sejak kecil, aku selalu rasa aku tak penting. Dalam keluarga, aku anak tengah, tak terlalu tua untuk dihormati, tak terlalu kecil untuk dimanjakan. Aku di tengah-tengah, tapi sering dilupakan.

    Kalau abangku buat salah, dia dibela. Kalau adikku menangis, dia dipujuk. Tetapi kalau aku? Selalu disuruh diam. Selalu disalahkan. Pernah satu hari aku jatuh di sekolah, luka berdarah, tapi yang ditanya mak cuma, “Kenapa cuai sangat?”

    Aku cuba jadi anak baik. Belajar sungguh-sungguh, harap mereka bangga. Tapi bila aku tunjuk keputusan cemerlang, mak cuma angguk, “Baguslah.” Lepas tu terus puji adik yang lukis gambar bunga. Aku senyum, tapi dalam hati terasa kosong.

    Aku cuba belikan mereka macam-macam untuk raih perhatian mereka, aku belikan gelang mahal untuk ibu aku, jam tangan mahal untuk ayah aku, tapi mereka hanya beri senyuman, tanpa mengucapkan sebarang kata terima kasih padaku.

    Hari demi hari, aku belajar sorok perasaan. Bila sedih, aku diam. Bila marah, aku senyum.

    Gambar Freepik

    Aku belajar jangan harap apa-apa. Aku belajar menunggu tapi tak pernah dipilih.

    Kadang aku tanya diri sendiri, adakah aku bersalah ke? Aku tak tahu jawapannya. Aku cuma tahu aku penat rasa tak cukup.

    Sekarang aku menulis ini, bukan untuk salahkan sesiapa. Aku cuma nak luah. Nak bagi tahu pada dunia bahawa aku juga manusia. Aku ada hati. Aku juga layak disayangi.

    Kalau satu hari nanti aku jadi ibu atau ayah, aku janji, takkan ada anak aku yang rasa seperti aku rasa.

    Nur

    NASIHAT DANG MP – 

    Waalaikumussalam, Nur. Terima kasih kerana menulis dan meluahkan apa yang telah lama terpendam. Perasaan menjadi anak ‘yang di tengah’, yang tidak dilihat, tidak didengar, seolah-olah wujud hanya untuk melengkapkan bilangan sememangnya menyedihkan.

    Kehilangan tempat dalam keluarga, meskipun fizikalnya bersama, tetapi jiwa yang terasa sunyi itu sangat menyakitkan. Dan apa yang awda lalui bukanlah satu kesalahan. Awda bukanlah kekurangan apa-apa pun dan juga bukanlah tidak layak. Cuma kadang, orang sekeliling terlalu terikat dengan peranan mereka, sampai lupa menyelami hati anak-anak secara adil.

    Awda tidak perlu jadi sempurna untuk disayangi. Nilai diri bukan diukur dengan keputusan cemerlang atau hadiah mahal. Nilai awda ada pada keikhlasan, pada hati yang terus cuba memberi walau tak dihargai. Itu satu kekuatan, bukan kelemahan.

    Dang bangga Nur mampu menulis semua ini. Ia bukanlah curhat yang kosong, tetapi ia kekuatan yang sedang tumbuh. Dan janji Nur untuk menjadi ibu atau ayah yang lebih memahami itu adalah cahaya.

    Awda mungkin pernah rasa terpinggir, tapi awda juga sedang membina ruang untuk kasih sayang yang lebih luas di masa depan. Teruskan melangkah dan menjadi anak yang baik dan berbakti kepada ibu bapa dan adik-beradik. Dang harap suatu hari akan timbul kesedaran dalam kalangan ahli keluarga Nur.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda