Anak The Rock ikuti jejak jadi ahli gusti

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Siapa menyangka anak perempuan pelakon dan bekas bintang gusti terkenal, Dwayne Johnson atau dikenali sebagai The Rock bakal mengikuti jejak langkahnya di gelanggang gusti profesional.

Anak perempuan sulung The Rock bersama bekas isteri, produser dan ahli bina badan, Dany Garcia iaitu Simone Alexandra Johnson, 21, mengumumkan akan muncul dalam penampilan sulungnya di World Wrestling Entertainment (WWE).

Simone menggunakan platform media sosialnya, termasuk Instagram dan Twitter mengumumkan nama gelanggang profesionalnya yang baharu.

Gadis itu dikatakan akan menggunakan nama ‘Ava Raine’ dan merupakan generasi keempat di sebelah keluarga bapanya menceburi sukan pertempuran fizikal itu.

Menurut portal Daily Mail, Simone difahamkan telah menandatangani perjanjian dengan WWE pada tahun 2020, tetapi penampilan sulungnya telah ditangguhkan susulan pembedahan dan pemulihan daripada kecederaan yang dialami.

Terdahulu moyangnya, ‘High Chief’ Peter Maivia merupakan ahli gusti professional keturunan samoa dan Amerika yang menceburkan diri dalam WWE sejak 1962 hingga 1982. – Agensi

Simone Alexandra Johnson anak perempuan The Rock bakal mengikuti jejak langkah ayahnya di gelanggang gusti profesional. – Agensi