MIAMI, 29 MEI – Charlie Woods, anak kepada juara 15 kejohanan utama Tiger Woods yang kini berusia 16 tahun, meraih kejuaraan pertamanya dalam kejohanan American Junior Golf Association (AJGA) kelmarin, apabila mencatat kemenangan dengan kelebihan tiga pukulan di Florida.
Woods muda mencatat skor enam bawah par 66 pada pusingan akhir untuk menjuarai Team TaylorMade Invitational yang berlangsung di padang Streamsong Resort Black, dengan jumlah keseluruhan 15 bawah par 201.
Ia merupakan kemenangan pertamanya dalam lima penyertaan AJGA. Dalam pusingan akhir, beliau membenam lapan birdie dan dua bogey, sebelum mengakhiri aksi dengan empat par berturut-turut untuk mengesahkan kejuaraan dalam siri kejohanan remaja paling berprestij di Amerika Syarikat itu.
Daripada 71 peserta, empat daripadanya merupakan lima pemain junior terbaik negara dan 60 daripada 100 pemain ranking teratas. Charlie Woods yang sebelum ini menghuni kedudukan ke-606 dalam ranking AJGA dijangka melonjak dalam kelompok 15 terbaik susulan kemenangan ini.
Charlie dijangka boleh memulakan perbincangan dengan jurulatih kolej seawal bulan depan, meskipun dia hanya akan menyertai pasukan universiti bermula tahun 2027.
Woods beraksi dalam kejohanan ini menerusi jemputan penaja, namun kini layak secara automatik untuk menyertai semua kejohanan jemputan AJGA baki musim ini.
Woods, sebelum ini pernah memenangi kejohanan mengikut kategori umur, namun cubaan untuk melayakkan diri ke Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat awal bulan ini tidak berjaya. – AFP
