LONDON, 5 JAN – Raja Britain, Raja Charles III dilaporkan amat berduka cita atas kematian anak tiri bekas pengasuh kepada Putera William dan Putera Harry dalam insiden serangan menggunakan kenderaan pada Hari Tahun Baharu di New Orleans, lapor PA Media/dpa.
Polis Metropolitan mengesahkan mereka sedang memberikan sokongan kepada keluarga Edward Pettifer, 31, yang terkorban dalam serangan di negeri Louisiana, Amerika Syarikat (AS) itu.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa 14 maut dan sekurang-kurangnya 35 lagi cedera apabila suspek, yang dikenal pasti sebagai Shamsud-Din J, didakwa merempuh orang ramai menggunakan trak pikap di kawasan Jalan Bourbon, French Quarter, lokasi sambutan Tahun Baharu yang popular di sana.
Difahamkan, Baginda telah dimaklumkan mengenai kematian Pettifer melalui saluran rasmi dan berasa amat berdukacita, serta telah berhubung dengan keluarga mangsa untuk menyampaikan ucapan takziah secara peribadi.
Akhbar The Telegraph melaporkan Pettifer merupakan anak tiri kepada bekas pengasuh Putera William dan Putera Harry, Tiggy Legge-Bourke yang juga dikenali sebagai Alexandra Pettifer.
Pettifer adalah anak lelaki sulung Charles Pettifer, seorang bekas pegawai Coldstream Guards, dan Camilla Wyatt, anak perempuan seorang penternak kuda lumba, menurut akhbar itu. – Bernama