Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak wajib berbakti kepada ibu bapa

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Ibadah korban adalah salah satu syariat daripada Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam mimpinya supaya Baginda mengorbankan puteranya Nabi Ismail AS yang tercinta.

    Kisah kesabaran dan ketaatan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah adalah sangat dikagumi dan wajar diambil iktibar.

    Nabi Ismail AS adalah seorang anak yang soleh, Baginda rela dijadikan korban demi mentaati perintah Allah dan mentaati ayahandanya.

    Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini dengan tajuk ‘Pengorbanan Ibu Bapa terhadap Anak-anak’ seterusnya menjelaskan, ketaatan Baginda hendaklah dicontohi dalam berbakti kepada orang tua kerana Allah SWT mewajibkan taat dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa yang telah menjaga dan membesarkan kita.

    “Ibu bapa amat menyayangi anak-anak mereka, kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa dalam menjaga mereka merupakan jasa yang tidak mungkin terbalas.

    Gambar Freepik

    “Ibu bapa menjaga kesihatan dan keselamatan anak-anak melebihi diri mereka sendiri dan apabila anak sihat dan gembira, hati mereka turut gembira,” tambahnya.

    Katanya lagi, kesusahan dan kepayahan dalam menjaga dan membesarkan anak-anak diharungi dengan sabar.

    Melihat anak membesar sehingga dapat hidup berdikari juga merupakan kebanggaan ibu bapa, kerana ibu bapa tidak pernah meminta balasan atas pengorbanan mereka terhadap anak-anak kerana cukup bagi mereka melihat anak-anak berjaya dan bahagia.

    Cukup jika anak-anak berbakti dan menghormati mereka, dan berbakti kepada orang tua adalah wajib kerana berbuat baik kepada mereka mampu mengangkat darjat seorang anak ke tahap yang tinggi di sisi Allah.

    Anak-anak perlu berbuat baik kepada ibu bapa dengan memberikan perhatian serta kasih sayang dengan sepenuh hati dan jiwa, muliakan dan hormati mereka, berkata dengan bahasa yang lembut dan sopan.

    Selain mengikut nasihat, sentiasa menyenangkan hati dan mengelakkan diri daripada menyakiti hati serta laksanakan perintah ibu bapa selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

    “Di samping itu, hendaklah juga sentiasa mendoakan kebaikan dan keampunan ibu bapa kerana doa seorang anak untuk orang tuanya adalah salah satu amal jariah yang tidak terputus sama ada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia,” jelasnya.

    Khatib turut mengingatkan, keredaan Allah itu terletak pada keredaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah pula terletak pada kemurkaan ibu bapa.

    Menurut khatib, kedua-dua ibu bapa merupakan jalan atau wasilah untuk memasuki syurga Allah dan Allah akan mengurniakan ganjaran syurga jika berbakti, berbuat baik kepada mereka dan mentaati perintah dalam perkara yang makruf dan tidak bertentangan dengan agama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda