Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 24 MAC – Aziz Latif Transport Sdn Bhd (ALTSB) dan The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) telah bekerjasama pada tahun ini bagi menjayakan Program Infaq Kasih Ramadan berlangsung di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam (PAHMA), Kampung Sengkarai, baru-baru ini.
Program yang merupakan sebuah inisiatif tahunan anjuran ALTSB itu bertujuan untuk membantu anak-anak yatim serta keluarga kurang berkemampuan dalam komuniti Daerah Tutong sepanjang bulan suci Ramadan. Dengan sokongan daripada CBTL, program ini telah berjaya menyantuni 10 orang anak yatim dan 10 keluarga kurang berkemampuan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, yang sekaligus menyampaikan sumbangan kepada para penerima.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Abdul Raqib bin Haji Awang, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Dayang Norakalily binti Haji Rosli, selaku penganjur program dari ALTSB, serta Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran CBTL, Awang Abdul Akeez bin Haji Abdul Khalid.
Awang Abdul Akeez dalam ucapannya antaranya menyatakan melalui inisiatif Caring Cup CBTL terus komited setiap tahun dalam memperkasakan peranan mereka dalam usaha kebajikan dan membantu masyarakat setempat, khususnya sepanjang bulan suci Ramadan. Ini merupakan peringatan bahawa kebaikan tidak mengenal batasan.
Sementara itu, Dayang Norakalily turut berkata dalam ucapannya bahawa majlis berkenaan adalah salah satu usaha untuk berkongsi sedikit sebanyak kegembiraan serta rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.
“Mudah-mudahan usaha ini menjadi amalan kita semua dan terus diperkukuhkan oleh generasi yang akan datang, sebagaimana pepatah mengatakan dalam rezeki kita, ada juga rezeki orang lain,” ujarnya. Turut hadir, Pengurus Besar CBTL di Brunei Darussalam, Arlene Terrado; Pengarah ALTSB, Haji Azman Latif bin Haji Abdul Aziz; serta para ketua kampung dan wakil dari Daerah Tutong. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan bacaan Surah Al-Asr.
