Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Seramai 35 orang anak yatim yang bermastautin di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor Mengkubau, hari ini, menerima sumbangan pada Majlis Indahnya Berbagi di Bulan Ramadan kali ke-3.
Majlis Indahnya Berbagi di Bulan Ramadan anjuran Majlis Perundingan Kampung RPN Panchor Mengkubau itu berlangsung di Jalan Bukit Sinadur, kampung berkenaan.
Hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Ketua Kampung RPN Panchor Mengkubau, Awang Helmi bin Haji Ahmad dan isteri.
Sumbangan-sumbangan berupa barangan asasi itu adalah daripada para penyumbang yang prihatin terhadap nasib mereka.
Antara lain tujuan majlis berkenaan diadakan adalah untuk memelihara kebajikan serta berkongsi kegembiraan dengan anak-anak yatim dalam sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
Turut hadir pada majlis tersebut ketua biro dan timbalan serta ahli MPK berkenaan.
