Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Kumpulan Syarikat YMRM dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan Persatuan Warisan Kedayan Jerudong, buat julung kalinya mengadakan majlis penyampaian derma kepada anak-anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU) yang diselajurkan dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah serta berbuka puasa di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Maidin dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Alok Amitabh Dimri.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Kumpulan Syarikat YMRM, Ramesh Jiwatram Bhawnani dan Pengarah Urusan YMRM, Hitesh Ramesh Bhawnani.
Seramai 750 orang anak-anak yatim, OKU dan para jemputan hadir pada majlis berkenaan.
Kumpulan Syarikat YMRM mengadakan majlis seumpama itu sebagai kegiatan tahunan dan tanggungjawab sosial syarikat kepada masyarakat yang memerlukan.