Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JAN – Seramai 50 orang anak yatim berumur lima hingga 14 tahun yang menetap di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor Mengkubau, hari ini, menerima sumbangan keperluan persekolahan pada Sumbangan Didik Kasih ke-3 di Dewan Sekolah Rendah Dato Mohd Yassin, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang terdiri daripada 24 lelaki dan 26 perempuan berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Pemangku Penghulu Mukim Kianggeh dan Ketua Kampung Subok, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat.
Dalam ucapan alu-aluan antara lain mengongsikan objektif utama majlis adalah untuk meringankan beban dalam membuat persiapan bagi keperluan penggal persekolahan baharu.
“Dengan adanya majlis seumpama ini juga, ia dapat membentuk sikap dan amalan bersedekah dan bantu-membantu kepada mereka yang memerlukan kerana amalan ini amat dianjurkan di dalam Islam di samping untuk memperolehi keberkatan serta rahmat dan reda Allah SWT.
“Kumpulan Ikhwanul Mahabbah turut berharap, majlis seumpama ini akan dapat mendidik generasi-generasi muda dan membentuk keperibadian dengan nilai-nilai murni dan akhlak mulia dengan mendedahkan belia kepada contoh baik dengan sentiasa memberi kepada yang memerlukan, dam =tidak camah mata kepada yang kurang berkemampuan,” ujarnya.
Menurut beliau, kesemua keperluan dan peralatan persekolahan berkenaan merupakan sumbangan daripada penduduk kampung dan dari luar kampung serta syarikat-syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa prihatin kepada kemaslahatan dan kebajikan golongan anak-anak yatim di negara ini.
Sumbangan Didik Kasih merupakan acara tahunan yang diungkayahkan oleh Kumpulan Ikhwanul Mahabbah.