Oleh Yusrin Junaidi, Syahmi Hassan, Salawati Haji Yahya & Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Pada bulan Ramadan yang mulia ini, anak-anak yatim terus tidak dilupakan apabila pelbagai pihak terus giat menghulurkan sumbangan dalam meraih ganjaran berlipat ganda sekali gus sedikit sebanyak menceriakan mereka terutamanya ketika Syawal yang bakal menjelang.
Kelmarin, seramai 55 orang anak yatim warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima sumbangan derma pada majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.
Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali bersama Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman selaku Yang Dipertua Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI).
Turut hadir bagi sama-sama menyampaikan derma berkenaan ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin dan Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong selaku Pengerusi PEKERTI.
Sementara itu, seramai 40 orang anak yatim di Sekolah Menengah Berakas (SMB) pula telah menerima sumbangan pada majlis yang diadakan di Dewan Anggerek sekolah berkenaan, kelmarin.






Pada majlis sempena bulan Ramadan itu, penyampaian derma disempurnakan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Rosman bin Haji Kasah.
Manakala itu, pada hari ini, Kumpulan Syarikat Teyeem dan Pengasas Syarikat Al Haji T M Badurudeen telah menghulurkan sumbangan kepada mereka memerlukan di Pasar Raya TM Majeed, Kampung Kilanas.
Inisiatif yang diadakan buat kali ke-16 itu menyaksikan 80 orang terdiri daripada fakir, miskin, anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan yang bermastautin di Mukim Kilanas menerima sumbangan Sumbangan keperluan harian bernilai $65 itu disampaikan oleh Ketua Kampung Kilanas, Awang Ameerolbahrynee bin Haji Abdul Hamid dan Pengurus Kumpulan TM Majeed, Ferose Khan.
Majlis sama turut diadakan di sebuah lagi kedainya, Pasar Raya Orbit di Kampung Salambigar bagi 80 orang anak yatim, warga emas dan mereka yang kurang berkemampuan.
Sebagai tanda sokongan dan solidariti sesama masyarakat di negara ini meskipun berbeza aga-ma dan bangsa, Unity Charity Association juga telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim di Kampung Kilanas yang berlangsung di Restoran Tiong Jaya, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi meraikan seramai 17 orang anak yatim berkenaan ialah Ketua Kampung Kilanas yang sekali gus menyempurnakan penyampaian sumbangan makanan dan wang tunai kepada anak-anak yatim yang diraikan.
Turut mengiringi sesi penyampaian sumbangan berkenaan ialah presiden persatuan berkenaan, Jake Goh Kiat Hing.
Dalam pada itu, kelmarin, Tabung Anak-anak Yatim Daerah Brunei dan Muara telah menerima sumbangan berjumlah $6,000 daripada masyarakat Cina di negara ini pada majlis yang berlangsung di Bilik VIP Holding Room, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Hadir dan seterusnya menerima sumbangan tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim. Pada majlis itu, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin menyampaikan sumbangan sebanyak $5,000 manakala Presiden Persatuan Hokkien, Peng Yan telah menyerahkan sumbangan sebanyak $1,000.

