Penyanyi Zayn Malik percaya anaknya iaitu Khai bakal mengikut jejak langkahnya kerana mempunyai kecenderungan dalam bidang muzik.
Memetik kenyataan mStar, Zayn, 31, berkata, walaupun baru berusia tiga tahun namun Khai sudah mampu menghafal lirik lagu selain menunjukkan minat terhadap alatan muzik.
“Saya tahu ia kedengaran seperti tidak masuk akal sebab dia baru berusia tiga tahun tetapi minatnya dalam muzik sangat mengagumkan.
“Dia hafal lirik lagu yang disukainya. Khai juga boleh mengingati nota dan melakukan ‘runs’ dengan pelbagai nota lagu.
“Saya kagum dan tak sabar melihat apa dia mampu lakukan apabila sudah dewasa nanti,” katanya.
Malah kata Zayn, Khai juga tahu dia adalah seorang penyanyi terkenal.
“Setiap kali dia dengar lagu, dia akan tanya sama ada bapanya yang menyanyikan lagu didengarinya,” katanya.
Untuk rekod, Khai merupakan anak hasil hubungan di antara Zayn dan model Gigi Hadid pada 2020. – Agensi