JOHANNESBURG, 31 OKT – Parti pemerintah Afrika Selatan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) semalam mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan mencemari tanah perkuburan orang Islam di Mowbray yang terletak di pinggir bandar Cape Town, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan ANC.
Tindakan itu bukan sahaja tidak bertamadun tetapi juga adalah satu provokasi terhadap masyarakat Islam, menurut ANC dalam kenyataan tersebut.
Sekurang-kurangnya 80 kubur orang Islam telah dicemari pada lewat malam Selasa dan disusun dalam bentuk palang.
“Kami berkongsi kesakitan mendalam yang dirasai keluarga si mati yang ditinggalkan apabila kubur mereka dicabuli secara biadap dan tidak berhati perut,” kata ANC.
Parti itu turut memuji keluarga yang terjejas serta komuniti Islam kerana sabar ketika berdepan provokasi sedemikian.
Zwelivelile ‘Mandla’ Mandela – seorang cucu lelaki mendiang Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela, yang merupakan anggota parlimen dan pemimpin tradisional – turut mengutuk insiden itu. – Bernama