Saturday, March 22, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ancaman AS tidak akan membawa hasil – Khamenei

    TEHRAN, 21 MAC – Pemimpin tertinggi Iran hari ini berkata ancaman Amerika Syarikat (AS) terhadap negaranya ‘tidak akan membawa hasil’, selepas Presiden Donald Trump memberi amaran mengenai kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap republik Islam itu.

    “Orang AS perlu tahu bahawa ancaman tidak akan membawa mereka ke mana-mana apabila berhadapan dengan Iran,” kata Ayatollah Ali Khamenei dalam ucapan tahunan secara langsung di televisyen sempena Nowruz, Tahun Baharu Parsi.

    Beliau berkata AS “dan pihak lain perlu tahu bahawa jika mereka melakukan sesuatu yang jahat terhadap bangsa Iran, mereka akan menerima tindak balas keras.”

    Pada 7 Mac, Trump berkata beliau telah menulis surat kepada Khamenei, menggesa perundingan dengan Tehran mengenai program nuklearnya dan memberi amaran mengenai kemungkinan tindakan ketenteraan jika Iran enggan.

    Kelmarin, Menteri Luar Abbas Araghchi berkata surat itu adalah “lebih kepada satu ancaman”, tetapi juga mengatakan ia kelihatan menawarkan peluang.

    Khamenei sebelum ini menolak usaha Trump untuk mengadakan rundingan, menuduh Presiden AS itu cuba menipu pendapat awam global dengan menggambarkan AS sebagai bersedia untuk berunding dan Iran sebagai enggan terlibat.

    Trump, yang memulakan penggal kedua pada Januari, telah mengembalikan dasar ‘tekanan maksimum’ terhadap Tehran. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda