JOHOR BAHRU, 2 MEI – Penduduk Felda Ulu Tebrau khususnya pekerja ladang dan kebun kelapa sawit, dibelenggu ketakutan berikutan ancaman harimau yang masih bebas berkeliaran di kawasan itu.
Seorang penduduk, Mohd Fadzil Mohd Kassim, 56, mendakwa pekerja kebun dan ladang kelapa sawit terpaksa mengehadkan waktu berada di kebun dan ladang kerana bimbang keselamatan mereka.
“Mereka telah dinasihatkan supaya kalau hendak keluar biar beramai-ramai jangan berseorangan, buat masa ini ada had dan batas waktu, kalau dulu, kerja sampai petang tetapi sekarang kita hadkan hingga tengah hari sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Mohd Fadzil berharap haiwan liar itu segera ditangkap kerana sumber pendapatan penduduk terjejas berikutan tidak dapat bekerja seperti biasa.
Ab. Jalil Sahlan, 70, pula berharap tindakan segera dapat dilakukan pihak bertanggungjawab sebelum kejadian tidak diingini berlaku.
Menurutnya, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Malaysia (Perhilitan) mengesahkan tapak kaki yang ditemui di kebun kelapa sawit di Felda itu adalah tapak kaki harimau dan akan memasang kamera serta perangkap bagi menangkap haiwan itu.
“Kita berharap pihak Perhilitan dapat memasang perangkap dan kamera dengan segera sekali gus bantu penduduk menangani masalah tersebut secepat mungkin,” katanya.
Baru-baru ini, tular gambar penemuan beberapa bangkai lembu dan tapak kaki binatang buas dipercayai seekor harimau di ladang kelapa sawit di Felda berkenaan. – Bernama