Friday, February 21, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ancaman iklim dorong kenaikan harga coklat

    PARIS – Perubahan iklim mendorong suhu meningkat sehingga melayukan tanaman selama berminggu-minggu tahun lepas di negara-negara Afrika Barat yang menyokong bekalan coklat dunia, menjejaskan hasil dan berkemungkinan meningkatkan lagi harga rekod, kata para penyelidik baru-baru ini.

    Petani di rantau berkenaan – yang menyumbang kira-kira 70 peratus daripada pengeluaran koko global – telah bergelut dengan cuaca panas, penyakit dan hujan yang luar biasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang semuanya menyumbang kepada penurunan pengeluaran.

    Ia telah mencetuskan ledakan harga koko, yang dihasilkan daripada biji pokok koko, dan merupakan bahan utama dalam coklat.

    Laporan baharu mendapati bahawa ‘perubahan iklim, disebabkan terutamanya oleh pembakaran minyak, arang batu dan gas metana, mendorong suhu yang lebih panas menjadi lebih kerap’ di Ivory Coast, Ghana, Cameroon dan Nigeria.

    Kajian itu, oleh kumpulan penyelidikan bebas Climate Central, mendapati trend itu amat ketara terutamanya di Ivory Coast dan Ghana, dua pengeluar koko terbesar.

    Dua ekor kucing dibuat daripada coklat dipamerkan di tingkap di Bruges. – AP
    Kepingan coklat dipamerkan di belakang kaunter kaca di The Chocolate Line, Bruges. – AP
    Pembuat coklat Dominique Persoone mengasingkan biji koko di bengkelnya di The Chocolate Line di Bruges, Belgium. – AP
    Coklat Lindt dipamerkan di atas rak di sebuah kedai CVS di Greenbrae, California. – AFP
    Coklat dikeringkan dalam bengkel The Chocolate Line di Bruges, Belgium. – AP
    Dominique Persoone menuang biji koko dalam sebuah mesin di bengkelnya. – AP

    Menggunakan data pemerhatian dari 44 kawasan penghasil koko di Afrika Barat dan model komputer, para penyelidik membandingkan suhu hari ini dengan fakta bertentangan tentang dunia tanpa kesan perubahan iklim.

    Mereka melihat kemungkinan rantau itu menghadapi suhu melebihi 32 darjah Celsius – melebihi paras yang dianggap optimum untuk pokok koko.

    Laporan itu mengatakan sepanjang dekad yang lalu, perubahan iklim telah menambah tiga minggu tambahan haba melebihi 32 darjah Celsius di Ivory Coast dan Ghana semasa musim penanaman utama antara Oktober dan Mac.

    Tahun lepas, tahun paling panas di dunia dalam rekod, mereka mendapati perubahan iklim mendorong suhu melebihi 32 darjah Celsius sekurang-kurangnya 42 hari merentasi dua pertiga daripada kawasan yang dianalisis.

    Penyelidik berkata bahawa ‘suhu panas yang berlebihan boleh menyumbang kepada pengurangan kuantiti dan kualiti hasil tuaian.’

    Banyak faktor lain juga berpotensi menjejaskan pokok koko dan meningkatkan harga, kata mereka, termasuk serangan koya-koya, pola hujan, penyeludupan dan perlombongan haram.

    Christian Aid menerbitkan penyelidikan berasingan pada Rabu mengenai kesan perubahan cuaca dan suhu melampau yang didorong oleh pemanasan global ke atas petani coklat dan koko.

    Badan amal United Kingdom (UK) berkata keadaan di Afrika Barat telah berubah daripada hujan yang melampau dan tanaman rosak semasa musim kemarau pada 2023 kepada kemarau pada 2024.

    “Menanam koko adalah mata pencarian penting bagi kebanyakan orang termiskin di seluruh dunia dan perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia menimbul ancaman serius,” kata Osai Ojigho, pengarah dasar Christian Aid dan kempen awam.

    ANCAMAN WUJUD

    Penuaian yang gagal membantu memacu kenaikan mendadak dalam harga koko sejak lewat 2023 di pasaran London dan New York tempat di mana komoditi tersebut didagangkan.

    Harga koko New York mencecah harga melebihi AS$10,000 satu tan pada Rabu, di bawah paras tertinggi melebihi AS$12,500 pada pertengahan Disember.

    Harga New York sebahagian besarnya berlegar antara AS$2,000 dan AS$3,000 satu tan selama beberapa dekad.

    Pada bulan Januari, pembuat coklat Switzerland Lindt & Spruengli berkata ia akan menaikkan harga sekali lagi tahun ini untuk mengimbangi kenaikan kos koko.

    Narcisa Pricope, seorang profesor di Universiti Negeri Mississippi, berkata tanaman itu berdepan ‘ancaman yang wujud’ sebahagian besarnya kerana keadaan yang semakin kering di rantau pengeluar koko.

    Pricope adalah sebahagian daripada penyelidikan baru-baru ini dari Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Memerangi Penggurunan yang mendapati lebih tiga perempat daripada kawasan daratan Bumi telah menjadi lebih kering sejak 30 tahun yang lalu.

    Pelepasan gas rumah hijau yang memanaskan planet adalah pemacu terbesar keadaan gersang berkenaan, katanya dalam ulasan Conversation pada Isnin, tetapi amalan yang menghakis tanah dan alam semula jadi juga memainkan peranan penting.

    “Tindakan kolektif terhadap kegersangan bukan hanya tentang menyelamatkan coklat – ia mengenai memelihara kapasiti planet untuk mengekalkan kehidupan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda