SIBU, 10 SEPT – Kerjasama serantau adalah penting dalam menangani ancaman kesihatan rentas sempadan seperti rabies serta cabaran kesihatan awam lain, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau menegaskan isu kesihatan tidak boleh dilihat secara bersendirian, sebaliknya kerjasama antara Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan adalah penting untuk memastikan perlindungan bersama serta penyelesaian yang mampan.
“Misalnya, rabies bukan sahaja sekadar isu untuk dibasmi di Sarawak sahaja. Kita juga perlu mengambil kira langkah pencegahan agar ia tidak merebak ke jiran kita di Brunei dan Sabah yang mungkin mempunyai sumber veterinar yang terhad,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Kesihatan Borneo Pertama dan Persidangan Kesihatan Sarawak ke-41 bertemakan Towards 2030: A Better Health for All, hari ini.
Dr Sim berkata, perkongsian kepakaran, penggabungan sumber serta pembentukan kerjasama rentas sempadan akan membantu Borneo menangani penyakit berjangkit dan tidak berjangkit dengan lebih berkesan.
“Kesihatan untuk semua bukan sahaja melibatkan pengamal perubatan, tetapi juga pembuat dasar, pihak berkuasa tempatan, universiti, industri, malah pakar veterinar perlu bersatu. Kerjasama serantau memastikan tiada komuniti yang tercicir,” katanya.
Dr Sim berkata Sarawak semakin diiktiraf sebagai peneraju dalam landskap kesihatan Borneo, dengan kemudahan, keupayaan penyelidikan klinikal dan inisiatif dasar negeri menjadi rujukan bagi rantau lebih luas.
“Dengan kemudahan baharu seperti Pusat Kanser Sarawak, Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak dan Pusat Jantung Satelit, Sarawak boleh memainkan peranan utama dalam memperkukuh kapasiti penjagaan kesihatan bagi seluruh pulau ini,” katanya. – Bernama


