SYDNEY, 27 FEB – Penduduk dan pelancong di sebuah pulau di luar pantai timur laut Australia akan mula dipindahkan ke tanah besar susulan ancaman yang ditimbulkan oleh Siklon Tropika Alfred, lapor Xinhua.
Penghuni Pulau Great Keppel, destinasi pelancongan popular kira-kira 15 kilometer (km) dari pantai bandar Rockhampton, dijangka mula dipindahkan hari ini.
Pihak pengurusan pusat peranginan pulau itu memaklumkan ia mungkin dibuka semula pada Isnin, bergantung kepada keadaan semasa.
Sementara itu, Biro Meteorologi (BoM) hari ini berkata siklon itu telah mencapai kekuatan kategori tiga dan terus bergerak perlahan di Laut Coral, di luar pantai negeri Queensland.
Setakat hari ini waktu tempatan, BoM berkata siklon itu berada kira-kira 860km dari pantai bandar Mackay di utara tropika Queensland. – Bernama
