BRUSSELS, 25 MEI – Para pegawai Kesatuan Eropah (EU) dan wakil negara anggota menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas barangan Eropah, lapor Xinhua.
Mereka memberi amaran taktik paksaan seperti itu boleh menjejaskan rundingan perdagangan transAtlantik.
Trump dalam kenyataan di platform sosialnya, Truth Social, pada Jumaat menuduh EU ‘mengambil kesempatan terhadap AS dalam perdagangan’ dan ‘amat sukar untuk berunding,’ sambil mengumumkan beliau mencadangkan ‘tarif sebanyak 50 peratus ke atas EU, bermula 1 Jun 2025’.
Ancaman tarif itu dibuat ketika rundingan perdagangan AS-EU dilaporkan menemui jalan buntu, dengan Washington menuntut konsesi sebelah pihak daripada Brussels bagi membuka pasaran kepada syarikat Amerika.
Manakala EU pula berusaha mendapatkan perjanjian yang membawa manfaat bersama, menurut laporan agensi berita asing memetik sumber berkaitan.
Pesuruhjaya Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi EU, Maros Sefcovic berkata menerusi platform X, EU bersedia mempertahankan kepentingannya.
Beliau menegaskan hubungan perdagangan dua hala ‘harus dipandu oleh rasa saling menghormati, bukan ugutan’.
“EU komited untuk mendapatkan perjanjian yang adil. Suruhanjaya Eropah bersedia untuk bekerjasama dengan niat baik,” katanya. – Bernama
