SAO PAULO, 5 JULAI – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti akan mengambil alih sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Brazil untuk Copa America 2024, kata sumber di Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) kepada AFP, kelmarin.
Persekutuan tersebut telah mengumumkan sebelum ini bahawa Fernando Diniz dari Fluminense akan mengendalikan pasukan itu dalam tempoh sementara.
Ancelotti mempunyai baki semusim dalam kontraknya bersama Real Madrid dan akan mengambil alih Brazil tepat pada masanya untuk Copa America yang akan diadakan di Amerika Syarikat mulai Jun 2024.
Bekas jurulatih AC Milan dan Chelsea itu akan menjadi orang asing pertama melatih Brazil dalam tempoh hampir 60 tahun.
Jurulatih asing terakhir Brazil ialah Filpo Nunez dari Argentina yang mengendalikan satu perlawanan pada 1965.
Di antara banyak kejayaannya, Ancelotti yang berusia 64 tahun telah memenangi Liga Juara-Juara dua kali bersama AC Milan dan Real Madrid.
Dia juga pernah memenangi kejuaraan liga domestik di England bersama Chelsea, Jerman bersama Bayern Munich dan Perancis bersama Paris Saint-Germain serta Real Madrid dan Milan.
Brazil dibimbing oleh Tite pada Piala Dunia tahun lalu, tetapi dia menarik diri daripada peranan itu selepas tersingkir di peringkat suku akhir kepada Croatia.
Ramon Menezes telah mengetuai pasukan tersebut sejak itu sebagai penjaga.
CBF sebelum ini mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa Diniz akan bertanggungjawab ke atas pasukan itu untuk hingga tahun depan.
“Fernando Diniz akan mengetuai pasukan Brazil selama setahun, dan saya pasti dia akan melakukannya dengan kecekapan yang hebat, seperti biasa sepanjang kerjaya profesionalnya,” kata Presiden CBF, Ednaldo Rodrigues dalam satu kenyataan video.
“Ia adalah satu impian, satu penghormatan dan satu kebanggaan besar untuk berkhidmat kepada pasukan kebangsaan,” kata Diniz.
Diniz, 49 tahun, akan mengendalikan enam perlawanan kelayakan Amerika Selatan untuk Piala Dunia 2026 yang akan dimainkan tahun ini, termasuk pertembungan dengan Argentina dan Uruguay.
Brazil akan memulakan kempen kelayakan mereka pada bulan September di tempat sendiri menentang Bolivia dan kemudian menentang Peru. – AFP


