MADRID, 2 APRIL – Carlo Ancelotti mengesahkan Brazil berminat dan teruja untuk mendapatkan khidmatnya namun berkata hari ini dia mahu memenuhi kontraknya bersama Real Madrid.
Pengendali dari Itali itu berkata Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) mahu dia menggantikan Tite, selepas jurulatih itu melepaskan jawatan berikutan Selecao tersingkir daripada suku akhir Piala Dunia 2022 dan ketika ini Ramon Menezes bertindak selaku pengendali sementara.
Kontrak Ancelotti bersama Real Madrid tamat pada Jun 2024 dan jurulatih veteran Itali berusia 63 tahun itu berkata dia menghormati perjanjian bersama juara Sepanyol itu.
“Benar, realitinya pasukan kebangsaan Brazili mahukan saya, saya suka dan teruja,” kata Ancelotti pada sidang akhbar.
“Selepas itu, awda perlu menghormati kontrak, kontrak yang saya mahu habiskan.”
Ancelotti berkata dia gembira di Real Madrid dalam tempoh keduanya di kelab itu namun tiada siapa yang tahu apa akan berlaku pada masa depan.
“Semua orang boleh berkata apa yang mereka mahu, dan kemudian ada realitinya,” kata Ancelotti.
“Dalam kes saya, ia agak mudah. Saya ada kontrak dan saya mahu habiskannya kerana saya suka Real Madrid, saya sukakan kelab ini dan apa yang akan berlaku selepas itu adalah masa depan, dan tiada siapa tahu mengenai masa depan.” – AFP