Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ancelotti sedia cipta legasi baharu di Brazil

    MADRID, 13 MEI – Carlo Ancelotti akan meninggalkan Real Madrid buat kali kedua sebagai pengurus paling berjaya dalam sejarah Liga Juara-Juara (UCL) selepas kejayaan kedua yang amat cemerlang dan kini bersedia untuk membawa bakatnya ke pentas antarabangsa bersama Brazil.

    Masa depan jurulatih Itali itu di peringkat tertinggi bola sepak kelab nampaknya telah berakhir sebelum dia meninggalkan Everton untuk kembali ke Santiago Bernabeu pada tahun 2021.

    Namun, Ancelotti membuktikan bahawa sentuhannya masih berbisa, apabila berjaya menjulang Piala Eropah buat kali keempat dan kelima sebagai jurulatih pada 2022 dan 2024.

    Jurulatih berusia 65 tahun itu turut memenangi gelaran La Liga pertamanya pada 2022, sekali gus melengkapkan kejayaan lima set liga utama Eropah.

    Apabila Zinedine Zidane, yang pernah membawa Madrid menjuarai UCL sebanyak tiga kali, menamatkan tempoh keduanya sebagai pengurus, Ancelotti dianggap sebagai pilihan yang selamat, memandangkan dia pernah memimpin kejayaan ‘decima’ pada 2014.

    Ancelotti memegang trofi La Liga ke-36 di dataran Cibeles di Madrid pada 12 Mei 2024. – AFP

    Pengumuman mengenai pemergian Ancelotti itu turut disusuli dengan berita bahawa dia akan menjadi jurulatih asing pertama yang membimbing pasukan kebangsaan Brazil sejak 1965.

    Juara dunia lima kali itu bergelut untuk mencapai prestasi pada kelayakan Piala Dunia 2026 dan memecat Dorival Junior pada Mac.

    Rodrigues berharap agar Ancelotti dapat membantu memulihkan reputasi Brazil sebagai kuasa besar dalam bola sepak antarabangsa.

    “Ini adalah satu kenyataan kepada dunia bahawa kami bertekad untuk kembali berada di tempat teratas di atas podium,” kata Rodrigues.

    Gergasi Amerika Selatan itu hanya mara ke peringkat separuh akhir sekali dalam lima edisi terakhir Piala Dunia, iaitu ketika mereka mengalami kekalahan memalukan 1-7 di laman sendiri kepada Jerman pada tahun 2014.

    Penyerang Brazil, Vinicius Junior dan Rodrygo Goes, kedua-duanya berkembang maju di bawah Ancelotti di Real Madrid dan merupakan pemain utama pasukan kebangsaan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda