TOKYO, 13 OKT – Tiada negara pernah memenangi Piala Dunia dengan jurulatih kelahiran luar negara, tetapi Carlo Ancelotti berkata ‘sentiasa ada kali pertama’ ketika dia memburu kejayaan bersama Brazil.
Jurulatih dari Itali itu menjadi jurulatih luar negara pertama Brazil dalam tempoh enam dekad apabila dia mengambil alih pasukan pada Mei dan membantu juara lima kali itu menempah tiket ke Piala Dunia musim panas depan.
Brazil akan menentang Jepun dalam perlawanan persahabatan di Tokyo esok, selepas menewaskan Korea Selatan 5-0 di Seoul minggu lalu.
Ancelotti berkata dia berhasrat mencipta sejarah buat dirinya dan pasukan di Piala Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
“Matlamat saya adalah memberikan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan Brazil, cuba memastikan mereka beraksi pada tahap terbaik dan memenangi Piala Dunia,” katanya.
Tambahnya, “Memang betul tiada jurulatih kelahiran luar negara yang pernah memenangi Piala Dunia, tetapi sentiasa ada kali pertama dalam hidup ini.”
Brazil menghadapi laluan yang sukar, hanya menduduki tangga kelima dalam kelayakan Amerika Selatan.
Ancelotti jurulatih keempat mereka sejak Tite berundur selepas kekalahansuku akhir kepada Croatia di Piala Dunia 2022 di Qatar.
Brazil memukau semasa menentang Korea Selatan, dengan bintang muda 18 tahun Estevao menjaringkan dua gol, manakala pasangan Real Madrid, Rodrygo dan Vinicius Jr., turut menyumbang jaringan. – AFP


