Assalamualaikum, terima kasih kerana beri ruang untuk aku luahkan rasa yang dah lama terpendam. Aku Daniel, cucu yang pernah dimanja, disayangi sepenuh hati oleh nenek dan atuk. Tapi hari ini, aku hanya mampu tengok semula kenangan itu dalam gambar dan ingatan.
Aku kesal, sebab aku tak sempat nak balas semua jasa mereka. Aku lalai. Sibuk dengan urusan sendiri, sampai lupa mereka pun perlukan aku. Dan sekarang, semuanya dah terlambat.
Dulu, rumah atuk dan nenek aku anggap biasa. Tempat aku datang kalau mak suruh.
Tempat yang selalu ada makanan, duit raya dan cerita yang sama berulang-ulang. Aku dengar pun sambil main telefon, mata pun tak betul-betul pandang muka mereka.
Nenek selalu masakkan lauk kegemaran aku. Atuk pula suka hulurkan duit kecil diam-diam sambil pesan jangan beritahu mak.

Tapi aku jarang ucap terima kasih. Aku fikir itu semua tanggungjawab mereka sebagai orang tua.
Bila aku mula sibuk dengan dunia sendiri, sekolah, kawan, cinta monyet, aku makin jarang balik. Kalau balik pun, aku lebih sibuk dengan gajet.
Nenek panggil makan pun aku jawab lambat. Atuk ajak berbual pun aku bagi alasan letih.
Satu hari, nenek jatuh sakit. Aku datang lewat. Waktu aku sampai, dia dah tak sedar. Tak lama lepas tu, atuk pula pergi – sunyi, tanpa sempat aku peluk dan minta maaf.
Masa tu baru aku rasa dunia runtuh. Baru aku sedar, dua insan yang paling ikhlas sayang aku, dah tak ada.
Sekarang, setiap kali makan lauk kegemaran aku, aku teringat nenek. Setiap kali nampak duit seringgit lama, aku teringat atuk. Penyesalan ini makan jiwa. Aku tak sempat tunjuk sayang aku. Tak sempat balas jasa.
Kalau masa boleh diulang, aku akan peluk mereka lebih lama. Dengar cerita mereka sepenuh hati. Ucap terima kasih setiap kali diberi. Tapi sekarang… yang tinggal hanya doa dan rindu yang tak pernah padam.
Daniel
NASIHAT DANG MP
Waalaikumussalam Daniel.
Terima kasih kerana menulis kepada Media Permata dengan begitu jujur dan penuh perasaan.
Setiap baris tulisan membawa perasaan yang mendalam seperti rindu, kesal dan cinta yang tidak sempat untuk dizahirkan sepenuhnya.
Dan ketahuilah, Daniel bukan keseorangan. Mungkin ramai di antara kita yang hanya benar-benar rasa ingin menghargai sesuatu setelah ia tiada.
Rasa bersalah dialami adalah sebahagian daripada kasih sayang yang masih hidup terhadap arwah nenek dan atuk. Bukanlah bererti awda gagal dalam menyayangi mereka tetapi awda hanya belum sempat cukup menunjukkannya.
Dan itu bukanlah satu kesalahan; cuma itu kealpaan yang datang dengan usia muda, dengan harapan bahawa mereka akan sentiasa ada.
Jangan biarkan penyesalan itu menghapuskan kenangan manis yang kalian cipta bersama.
Masakan nenek dan seringgit atuk adalah bukti cinta mereka yang datang tanpa syarat.
Dan dalam cinta yang sebesar itu, mereka pasti telah memaafkan semua kekurangan cucunya bahkan sebelum awda sempat menyedarinya.
Sekarang, walau mereka tiada, kasih itu tidak berakhir. Kamu masih boleh mencintai mereka dengan cara yang berbeza iaitu melalui doa yang ikhlas, dengan terus menjadi insan baik yang mereka harapkan. Tanpa mengabaikan kebaikan terha-dap orang tua lain yang masih ada di sekeliling awda.
Rasa kehilangan ini akan tetap ada, tapi ia juga akan mengajar kamu menjadi insan yang lebih menghargai.
Awda sedang belajar dari luka Daniel, dan itu adalah jalan menjadi dewasa. Mereka mungkin telah pergi, tapi kasih mereka dan kasih kamu kekal jadi kenangan yang abadi.









